Julita Majungki
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah memperkukuh usaha tadbir urus korporatnya dengan melaksanakan pelbagai reformasi serta menubuhkan sebuah jawatankuasa pemantauan khusus bagi mempertingkat prestasi Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) dan Badan Berkanun Negeri.
Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki berkata, langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan ketelusan, akauntabiliti dan kesan ekonomi mampan melalui entiti korporat milik negeri.
Ketika ini, Kerajaan Negeri secara langsung mempunyai kepentingan dalam 27 syarikat induk dan 22 badan berkanun yang terlibat dalam sektor strategik seperti perladangan, tenaga, pelaburan dan pembangunan hartanah.
Ekosistem korporat ini disokong oleh kira-kira 250 anak syarikat dan syarikat bersekutu, menjadikan landskap korporat negeri ini luas dan kompleks.
Bagi memastikan tadbir urus yang kukuh dan hasil yang lebih baik, beberapa reformasi penting telah dilaksanakan.
“Ini termasuk pelantikan ahli lembaga pengarah yang berkelayakan, penilaian semula model perniagaan serta penambahbaikan mekanisme pemantauan dan pelaporan kewangan. Semuanya bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dan memastikan sumbangan positif kepada ekonomi Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, satu arahan dasar penting turut dikuatkuasakan di mana semua perjanjian usaha sama melibatkan GLC atau badan berkanun perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Pejabat Peguam Besar Negeri, Kementerian Kewangan serta agensi berkaitan sebelum dibawa ke Kabinet untuk kelulusan.
“Langkah ini bertujuan melindungi kepentingan awam dan memastikan ketelusan yang lebih tinggi dalam usaha niaga berkaitan Kerajaan Negeri,” jelasnya.
Bagi memperkukuh lagi pemantauan, sebuah Jawatankuasa Pemantauan GLC telah ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan serta Penasihat Kewangan kepada Ketua Menteri.
Jawatankuasa ini ditugaskan untuk mengenal pasti kelemahan dalam tadbir urus dan mencadangkan tindakan pembetulan terhadap GLC yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan.
“Beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang didapati tidak aktif atau tidak beroperasi kini sedang menjalani proses penstrukturan semula atau pembubaran secara formal sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan beban kewangan dan meningkatkan kecekapan korporat secara keseluruhan,” katanya.
Julita berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan mantan Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah, Datuk Roger Chin, semasa sesi town hall anjuran Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR), yang mendakwa bahawa banyak GLC terus wujud di Sabah walaupun mengalami kerugian berjuta-juta ringgit kerana disokong oleh ahli politik tertentu dan keluarga mereka.
Sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan yang berterusan, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga sedang meneliti semula struktur GLC utama dan anak-anak syarikatnya.
Tujuannya adalah untuk mengoptimumkan pemilikan, mengurangkan anak syarikat yang tidak produktif serta menyalurkan semula sumber ke arah inisiatif yang memberikan kesan ekonomi langsung kepada negeri dan rakyat Sabah.
Selain itu, pasukan pengurusan baharu telah dilantik di beberapa GLC utama termasuk Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Qhazanah Sabah Berhad bagi memacu pelan pemulihan serta memperkukuh akauntabiliti.
Beliau turut menegaskan bahawa penilaian terhadap prestasi GLC di Sabah harus dibuat secara lebih seimbang.
“Adalah tidak adil untuk menganggap semua GLC sebagai tidak berprestasi. Hakikatnya, beberapa GLC telah menunjukkan pencapaian membanggakan, membayar dividen dan memberikan sumbangan besar kepada Kerajaan Negeri.
“Malah, mereka turut menyumbang manfaat sampingan seperti penciptaan pekerjaan, pembangunan komuniti dan pelaburan swasta,” katanya.