CALIFORNIA: Sebuah bandar kecil di Amerika Syarikat (AS), Carmel-by-the-Sea, mencuri perhatian dunia apabila menetapkan syarat unik kepada pelancong dan pengunjung untuk memiliki permit rasmi sekiranya ingin berjalan dengan kasut tumit tinggi melebihi 5 sentimeter (cm) di kawasan awam.
Menurut Utusan Malaysia, peraturan luar biasa yang mula dikuatkuasakan sejak tahun 1963 itu bukan mitos seperti yang sering digambarkan, tetapi merupakan undang-undang sah yang masih terpakai sehingga kini di bandar peranginan indah di Monterey County itu.
Menurut peraturan tersebut, mana-mana individu yang memakai kasut tumit tinggi melebihi 5 cm dan dengan permukaan tapak kurang daripada 2.5 cm persegi, perlu terlebih dahulu memohon permit khas daripada dewan bandar raya.
Permit tersebut diberikan secara percuma dan biasanya dijadikan cenderahati oleh pelancong, walaupun mereka tidak berniat untuk memakai kasut tumit tinggi ketika berada di sana.
Menariknya, permit itu lengkap dengan nama pemohon serta ditandatangani oleh pegawai bertugas, menjadikannya tampak rasmi dan eksklusif.
Peraturan aneh ini sebenarnya diperkenalkan atas faktor keselamatan, selepas peguam bandar ketika itu mendapati struktur laluan pejalan kaki yang tidak rata akibat akar pokok cemara dan Monterey Pine yang besar berpotensi menyebabkan kemalangan, terutamanya kepada pemakai kasut tumit tinggi.
“Permukaan jalan yang tidak rata serta bentuk tumit yang kecil boleh menyebabkan risiko terjatuh, dan undang-undang ini diwujudkan bagi mengelakkan pihak majlis bandar disaman sekiranya berlaku kemalangan,” menurut jurucakap bandar.
Walaupun pihak berkuasa tempatan tidak menguatkuasakan undang-undang ini secara ketat, namun ia tetap terpakai dari segi perundangan.
Ramai berpendapat laluan lorong berbatu dan jalan tanah yang sempit, Carmel-by-the-Sea sememangnya bukan destinasi ideal untuk bergaya dengan kasut tumit tinggi namun bagi mereka yang berhasrat mencubanya, permit rasmi tetap menjadi syarat utama.
Sebelum ini bandar berkenaan turut pernah mengharamkan orang awam memakan aiskrim di kawasan pusat bandar kerana bimbang akan menyebabkan jalanan menjadi melekit dan mendatangkan bahaya.


































