Nizam bergambar bersama para peserta Hari Sukan Anak Sabah.
KOTA KINABALU: Pertandingan sukan bukan sekadar tentang meraih kemenangan, sebaliknya menjadi medan untuk menyemai semangat kesukanan dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan peserta.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sukan juga merupakan platform untuk membuktikan kesungguhan dan daya juang setiap individu.
“Ingatlah bahawa kemenangan sebenar bukan hanya diukur melalui trofi atau pingat yang dimenangi, tetapi juga melalui pengalaman, pembelajaran, serta persahabatan yang terbina sepanjang berlangsungnya acara sukan ini.
“Semoga segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan menjadi pendorong untuk terus maju dan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Hari Sukan Anak Sabah di sini, hari ini.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas berkata, program sukan memberi peluang kepada peserta untuk menonjolkan bakat dan kebolehan masing-masing.
“Selain itu, acara seperti ini menjadi platform memupuk semangat kesukanan, perpaduan, dan silaturahim dalam kalangan peserta. Nilai-nilai murni ini perlu sentiasa dipupuk dan dikekalkan dalam masyarakat kita,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ikatan Anak-anak Sabah (IKAS) kampus Gombak selaku penganjur dan berharap program berkenaan dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.
“Saya berharap program seperti ini dapat diperkasakan lagi pada masa akan datang. Marilah kita bersama-sama berusaha melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang sukan, tetapi juga berdaya saing, berdisiplin, dan berwawasan,” katanya.
Seramai 68 peserta dari empat kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil bahagian dalam program tahunan Sukan Anak-anak Sabah 2025 yang melabuhkan tirainya semalam.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan UIAM, Jamaluddin Said; Pengarah Program, Muhammad Ikmal Iksani; serta ahli jawatankuasa Hari Sukan Anak-anak Sabah.


































