Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM470 juta bagi memperkasa pembangunan modal insan di negeri itu.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peruntukan tersebut bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat di Sabah, tetapi turut meliputi anak-anak Sabah yang berada di luar negeri.
Menurutnya, usaha memperkasa modal insan itu adalah selari dengan kerangka pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Yang menariknya, Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor melihat pembangunan modal insan sebagai salah satu teras utama dalam pelan pembangunan SMJ ini.
“Malah, banyak inisiatif telah diperkenalkan yang memberi manfaat kepada golongan muda, khususnya pelajar, bagi menyediakan mereka dengan platform dan suasana kondusif untuk menumpukan perhatian kepada pendidikan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Sukan Anak Sabah 2.0 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Selangor, kelmarin.
Dalam pada itu, Nizam berkata, Program Sukan Anak Sabah bukan sahaja memberi peluang kepada anak-anak negeri menunjukkan bakat dan kebolehan mereka dalam pelbagai bidang sukan, tetapi juga menjadi platform untuk memupuk semangat kesukanan, perpaduan dan silaturahim dalam kalangan peserta.
Katanya, nilai-nilai murni seperti ini perlu terus disemai dan dikekalkan dalam masyarakat.


































