KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu lebih banyak program dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menderma darah.
“Saya dimaklumkan bahawa keperluan darah harian bagi negeri Sabah ialah sebanyak 300 unit dan setiap tahun kita memerlukan sekitar 110,000 hingga 120,000 unit darah bagi menampung keperluan pesakit. Namun, setakat ini hanya 75,000 unit darah berjaya dikumpul setiap tahun,” katanya pada sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri 2025 dan program derma darah yang diadakan di Hospital Queen Elizabeth II di sini hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Hajiji berkata, kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan sektor awam boleh membantu meningkatkan kesedaran tentang pendermaan darah dan menarik lebih ramai orang awam untuk menjadi penderma tetap.
“Sesungguhnya, pendermaan darah secara sukarela membantu menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.
Beliau berkata, memandangkan kualiti sistem penjagaan kesihatan sangat bergantung kepada kualiti tenaga kerja kejururawatan, maka pelaburan dalam aspek latihan, kebajikan dan pembangunan kerjaya jururawat amat penting bagi memastikan kelestarian sistem kesihatan negara.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sentiasa menghargai dan menyokong para jururawat yang berkhidmat di Sabah dan sanggup berkorban masa serta tenaga demi kesihatan rakyat. Saya berharap semua jururawat akan terus berusaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan penjagaan kesihatan, khususnya di negeri ini,” katanya.
Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada jururawat yang disifatkan sebagai tulang belakang kepada sistem penjagaan kesihatan negara.
“Sambutan Hari Jururawat bukan sekadar acara simbolik tetapi satu pengiktirafan penting kepada golongan yang menjadi tunjang sistem kesihatan negara – iaitu jururawat kita.
“Selaras dengan tema sambutan tahun ini, ‘Jururawat Kita, Masa Depan Kita: Prihatin Terhadap Jururawat Mengukuhkan Ekonomi’, peranan jururawat bukan hanya sebagai penjaga pesakit di hospital semata-mata – mereka juga pemangkin kesejahteraan komuniti, pendidik kesihatan dan petugas barisan hadapan dalam menangani krisis kesihatan,” katanya.
Ketua Menteri turut mengimbau kembali peranan luar biasa jururawat ketika pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu, bukan sahaja dari segi rawatan dan pemantauan tetapi juga dalam memberikan sokongan emosi dan moral kepada pesakit serta ahli keluarga mereka.
“Ada yang terpaksa berjauhan daripada keluarga, pasangan dan anak-anak demi melaksanakan tanggungjawab ketika itu.
“Sesungguhnya, mereka adalah wira tidak didendang yang tetap tabah, cekal dan bersemangat walaupun berdepan pelbagai cabaran sama ada di wad, unit kecemasan, klinik kesihatan luar bandar mahupun di kawasan bencana,” katanya.
































