WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan China bersedia memulakan rundingan minggu ini dalam usaha meredakan ketegangan perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Luar China memaklumkan, Timbalan Perdana Menterinya, He Lifeng akan menghadiri rundingan yang dijadualkan berlangsung di Switzerland dari 9 hingga 12 Mei ini.
Pihak AS pula akan diwakili oleh Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent dan Wakil Perdagangan AS (USTR), Jamieson Greer, seperti yang diumumkan oleh pejabat masing-masing.
Sejak kembali ke Rumah Putih, Presiden Donald Trump mengenakan tarif import baharu terhadap barangan dari China, mencecah 145 peratus dan Beijing turut mengenakan duti balas ke atas beberapa barangan dari AS sehingga 125 peratus.
Namun, pakar perdagangan global menjangkakan rundingan berkenaan akan mengambil masa beberapa bulan sebelum sebarang kemajuan ketara dapat dicapai.
Ia merupakan pertemuan peringkat tinggi pertama antara kedua-dua negara sejak Naib Presiden China, Han Zheng menghadiri majlis angkat sumpah Trump Januari lalu.
Dalam wawancara bersama Fox News, Bessent menyatakan beliau berharap mampu menyeimbangkan semula sistem ekonomi antarabangsa agar lebih mengutamakan kepentingan AS.
“Rundingan kali ini lebih kepada usaha meredakan ketegangan, bukan untuk mencapai perjanjian besar. Kita perlu redakan keadaan dahulu sebelum boleh bergerak ke hadapan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Perdagangan China berkata, sekiranya AS mahu menyelesaikan isu tersebut melalui rundingan, negara itu perlu mengakui kesan negatif besar daripada tindakan tarif unilateral yang dikenakan, bukan sahaja melibatkan Beijing tetapi juga kepada dunia.
Media rasmi China melaporkan, keputusan untuk berunding dibuat selepas mempertimbangkan harapan global, kepentingan negara dan gesaan daripada syarikat AS.
Laporan itu juga menegaskan China bersedia untuk berbincang, namun jika perlu meneruskan pertarungan dalam perang perdagangan ini, negara itu akan berjuang hingga ke akhirnya.
Sementara itu, pasaran saham di rantau Asia-Pasifik menunjukkan prestasi bercampur-campur selepas pengumuman rundingan tersebut, manakala niaga hadapan saham di AS mencatat kenaikan.
































