MEKAH: Seorang rakyat Ghana ditahan kerana cuba menyeludup empat wanita warga asing ke Mekah tanpa permit haji yang sah.
Menurut Utusan Malaysia, lelaki terbabit dilaporkan memandu sebuah bas dan menyembunyikan kesemua wanita itu di ruang bagasi, dalam cubaan untuk menyusup masuk ke Tanah Suci.
Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA), pemandu serta penumpang terbabit ditahan dan diserahkan kepada jawatankuasa berkuasa untuk tindakan lanjut.
Tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi untuk menghalang individu tanpa permit haji daripada memasuki atau menetap di Mekah serta kawasan Tanah Suci.
Menurut laporan , Pasukan Keselamatan Haji menahan 42 warga asing di daerah Al-Hijrah, Mekah yang memasuki kawasan tersebut dengan pelbagai jenis visa lawatan dan melanggar peraturan.
Tindakan undang-undang dimulakan dan usaha sedang dijalankan untuk menahan individu yang melindungi mereka.
Kementerian turut mengumumkan denda sehingga SR100,000 (RM126,000) akan dikenakan terhadap individu yang membawa atau cuba membawa pemegang visa lawatan ke Mekah.
Hukuman sama juga dikenakan terhadap mereka yang menyediakan penginapan kepada pemegang visa lawatan termasuk di hotel, apartmen, rumah persendirian, pusat penginapan atau perumahan Haji, atau membantu mereka menetap secara haram.
Denda akan meningkat bergantung kepada bilangan individu yang dibawa masuk, diberi penginapan atau dibantu secara tidak sah, tambah SPA.
Melakukan atau cuba melakukan ibadah Haji tanpa permit yang sah atau memasuki dan berada di Mekah serta kawasan suci tanpa kebenaran boleh dikenakan denda sehingga SR20,000 (RM25,000).
Penduduk tempatan dan jemaah tidak sah juga akan dihantar pulang dan diharamkan daripada memasuki semula Arab Saudi selama 10 tahun.
Kementerian memaklumkan bahawa tempoh kawalan dan larangan ini berkuat kuasa dari 29 April hingga 10 Jun.