Shahelmey ketika ditemui media.
PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya mengingatkan barisan Ahli Majlis Daerah Putatan yang baharu agar memikul amanah dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan seimbang daerah itu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Keramat berkata, sebagai pemimpin masyarakat, Ahli Majlis perlu memahami dasar kerajaan negeri dan persekutuan serta keperluan rakyat setempat.
“Lengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas yang disandang, serta peka terhadap hal ehwal kerajaan tempatan dan prihatin masalah masyarakat,” katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri III pada majlis penyerahan watikah pelantikan Ahli Majlis Daerah Putatan bagi sesi 2025-2027 hari ini.
Shahelmey turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli Majlis sesi terdahulu atas khidmat dan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.

Shahelmey (tiga dari kiri), Dr. Joachim (tengah) dan tetamu kehormat yang lain bergambar kenangan dengan Ahli Majlis Daerah Putatan sesi 2025-2027.
Katanya, daerah Putatan yang terletak bersebelahan dengan Kota Kinabalu kini pesat membangun dan memerlukan dasar serta perancangan tersusun untuk menjamin keseimbangan pembangunan antara perumahan, komersial dan industri.
“Kita mahu Putatan menjadi daerah yang menawarkan kualiti kehidupan yang baik dan selesa untuk semua golongan masyarakat,” tegas beliau.
Shahelmey turut menekankan keperluan merangka polisi yang menyeluruh supaya pembangunan yang dilaksanakan dapat memenuhi keperluan pelbagai latar belakang penduduk di Putatan.
Tambah beliau, pendapatan tahunan Majlis Daerah Putatan sekitar RM14 hingga RM16 juta wajar ditingkatkan supaya lebih banyak perancangan pembangunan dapat dilaksanakan.
“Apabila kita mempunyai hasil yang tinggi, maka kita mempunyai keupayaan untuk berbelanja dan merancang untuk pembangunan daerah,” katanya.
Beliau turut menyeru Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah agar meluluskan projek perumahan rakyat Malaysia baharu di Putatan dalam masa terdekat bagi memenuhi keperluan perumahan penduduk.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam; ADUN N. 23 Petagas, Pengerusi Qhazanah Technology Sdn. Bhd, Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Haji Ag. Sahari; Timbalan Setiausaha Tetap I, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tpr. Stanley Chong, Pegawai Daerah Putatan, merangkap Pengerusi Majlis Daerah Putatan, Masawi bin Hj Salleh dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmy bin Mohd Taib.
































