Aksyah Haji Nasrah.
KOTA KINABALU: Pembangkang terus menggunakan fitnah dan isu-isu sensitif sebagai senjata politik demi meraih kuasa tanpa menawarkan penyelesaian konkrit untuk masa depan Sabah, kata mantan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Aksyah Haji Nasrah.
Menurutnya, tindakan itu menunjukkan pembangkang ketandusan idea bernas serta gagal mengemukakan hala tuju yang jelas dan meyakinkan untuk rakyat negeri ini.
“Sebaliknya mereka lebih gemar mengeksploitasi kesedihan dan aib rakyat demi kepentingan politik sempit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aksyah berkata, pendekatan sedemikian bukanlah perkara baharu kerana pernah digunakan ketika menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Namun, beliau menyifatkan keadaan sekarang sebagai ironi apabila BN yang kini berada dalam blok pembangkang turut terikut-ikut dengan strategi politik sama.
“Malah, mereka kelihatan seperti sedang ‘bermesra’ dengan bekas seteru politik mereka,” katanya, merujuk kepada insiden di bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) yang dijadikan bahan politik oleh pihak tertentu.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar tidak tertipu kali kedua dengan retorik dan propaganda politik yang tidak berlandaskan fakta serta hanya bertujuan menanam kebencian.
“Sudah tiba masanya untuk kita memperkukuhkan momentum sokongan kepada parti-parti tempatan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berpaksikan nilai dan aspirasi rakyat Sabah,” tambahnya.
Aksyah menyifatkan serangan berterusan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan pimpinan GRS sebagai satu bentuk “pembunuhan karektor” oleh pembangkang yang semakin kehabisan modal politik.
“Mereka memanipulasi data, memperlekeh penampilan serta mencipta persepsi negatif yang tidak berasas. Ini mencerminkan betapa rendahnya mutu politik yang dibawa oleh pembangkang,” katanya.
Beliau berkata, rakyat harus menilai kualiti kepimpinan berdasarkan keupayaan mereka menangani tekanan serta bertindak tenang dalam menghadapi fitnah dan cabaran politik.
“Imam Al-Ghazali pernah berpesan – pilihlah pemimpin yang dihujani panah fitnah, kerana itulah petanda mereka berada di jalan yang benar,” ujarnya.
Katanya, Hajiji dan pimpinan GRS-PH Plus telah menunjukkan komitmen tinggi dengan terus fokus menjalankan amanah tanpa melayani tohmahan liar.
Aksyah turut menyeru rakyat agar memberi sokongan kepada pemimpin berintegriti yang berkhidmat dengan ikhlas dan berlandaskan kepentingan negeri.
“Rakyat Sabah perlu menilai dengan bijak dan menyokong kepimpinan yang menawarkan kestabilan dan kemajuan berterusan,” tegasnya.






























