Dr. Joachim (belakang, tengah) bergambar dengan penerima geran PANTAS di Kg. Tambatuon hari ini.
KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyeru penduduk kampung agar tidak menjual tanah pusaka mereka, sebaliknya memelihara dan mengusahakannya sebagai aset warisan yang amat berharga.
Berucap semasa menyampaikan 205 geran Program Penyukatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) kepada penduduk Kampung Tambatuon di sini hari ini, beliau berkata, tanah adalah elemen paling penting dalam kehidupan, terutamanya dalam kalangan komuniti Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).
“Tiada yang lebih berharga daripada memiliki tanah sendiri. Saya harap penduduk tidak menjual tanah ini, tetapi memanfaatkannya dengan sebaik mungkin,” katanya.
Majlis itu dihadiri lebih 300 orang penduduk.

Dr. Joachim (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama dengan tetamu yang hadir dan penduduk kampung Kg. Tambatuon dalam Majlis Penyerahan Geran PANTAS, Kg. Tambatuon.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Ukur atas usaha mereka menyukat dan menyediakan geran-geran tersebut dengan teratur.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan PANTAS hanya melibatkan tanah yang telah diusahakan tetapi belum mempunyai geran, dan tidak melibatkan kawasan yang sedang dalam pertikaian atau dimiliki oleh mana-mana pihak.
“Sekiranya ada pertikaian dalam sesuatu kawasan, PANTAS tidak akan dilaksanakan. Justeru, pemimpin peringkat kampung seperti Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung memainkan peranan penting dalam mengenal pasti tanah yang telah diusahakan oleh penduduk,” jelasnya.
Tambah beliau, Kerajaan sentiasa menyokong permohonan sah yang dikemukakan rakyat, asalkan mendapat kerjasama sepenuhnya dengan Jabatan Tanah dan Ukur bagi melengkapkan proses kelulusan.
“Ada pemohon yang terpaksa menunggu sehingga 10 tahun sebelum geran PANTAS diluluskan. Maka, saya berharap permohonan dibuat secara teratur dan lengkap agar proses dapat dipercepatkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat memiliki tanah sendiri melalui pelbagai inisiatif dan program.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru penduduk kampung agar terus menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
“Pilihlah kerajaan yang benar-benar membantu rakyat. Siapa sahaja yang dicalonkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), itulah yang perlu kita sokong,” katanya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Tanah Dan Ukur, Saat Durasik; ADO Pejabat Daerah Kota Belud, Wahab Hj Sidek; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N11 Kadamaian, Demis Rumanti; PPM Kadamaian wakil YB Datuk Ewon Benedick, Saimon Watis; Pegawai JTU PBU Kota Belud, Pool Rumanti; Ketua Daerah, OKK Roslan Duraman, Ketua Daerah; Ketua Kampung Tambatuon, Kosimin Sulidan; Pengerusi JKKK, Walbote; Penyelaras Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Kota Belud, James Muyou; Pemaju Mukim kadamaian, Melon Yaming dan Anichlose Kesimin.


































