Hajiji bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag disambut oleh Unduk Ngadau Tuaran sebaik tiba di Nexus Karambunai.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM13.66 juta tahun ini bagi usaha pemeliharaan warisan budaya dan seni Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, peruntukan ini bertujuan memastikan warisan seperti pakaian tradisional pelbagai etnik di Sabah bukan sahaja diwarisi generasi kini, malah terus dipelihara untuk generasi akan datang.
“Saya berharap minat terhadap warisan budaya kita dapat terus dikekalkan dan diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya. Peserta pertandingan Unduk Ngadau perlu merebut peluang untuk menjadi duta dalam usaha memelihara budaya, bahasa dan tradisi etnik Kadazandusun,” katanya.
Berucap pada majlis Sodop Unduk Ngadau Kaamatan peringkat daerah Tuaran yang diadakan di Nexus Resort and Spa Karambunai malam ini, Ketua Menteri berkata acara ini bukan sekadar pertandingan fesyen tradisional.
“Ia merupakan platform penting untuk menyerlahkan usaha kita dalam memelihara, memperkasa dan memartabatkan warisan budaya komuniti Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR), khususnya dalam memperagakan keunikan pakaian tradisional yang kaya dengan nilai estetika, simbolisme dan sejarah.
“Acara seperti ini juga boleh membuka peluang kepada pereka fesyen etnik tempatan untuk menjana pendapatan melalui kreativiti dan rekaan mereka,” katanya.
Hajiji berkata, pakaian tradisional bukan sekadar pakaian semata-mata, sebaliknya melambangkan identiti, status sosial, nilai dan tradisi sesuatu komuniti.
Sebagai contoh, daerah Tuaran terkenal dengan seni sulaman Linangkit, di mana setiap jahitan, motif dan warna membawa makna dan cerita tersendiri.
“Kita mesti menghargai dan mempromosikan seni ini kepada generasi muda dan masyarakat,” katanya.
Pertandingan ini juga menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasakan pelancongan budaya melalui promosi warisan tempatan. Keunikan pakaian tradisional etnik Kadazandusun mampu menarik perhatian bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.
Ketua Menteri berkata, tema Pesta Kaamatan tahun ini, “Kaamatan Untuk Semua”, membawa makna yang besar – bahawa semangat Kaamatan bukan hanya untuk satu kaum, tetapi milik semua rakyat Sabah.


































