Joniston bersama Gerald (dua dari kanan) dan Pairin (tiga dari kanan) semasa lawatan ke Kampung Budaya Koisaan di Penampang hari ini.
PENAMPANG: Sabah dan Sarawak perlu memperkukuh lagi kerjasama dalam pelancongan budaya untuk menyerlahkan warisan bersama Borneo, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau berkata, kedua-dua negeri mempunyai potensi besar untuk secara bersama mempromosikan Borneo sebagai satu destinasi pelancongan tanpa sempadan melalui laluan budaya, program pertukaran lawatan dan tarikan berasaskan komuniti.
“Sarawak menggunakan slogan ‘Gateway to Borneo’, tetapi sebaiknya, kita mahu pelawat masuk melalui Sarawak dan menamatkan perjalanan mereka di Sabah,” kata Joniston berseloroh. Beliau menambah, tumpuan seharusnya diberikan kepada aspek keterhubungan, bukan persaingan, dengan membungkus tarikan di kedua-dua negeri sebagai satu pengalaman Borneo yang bersatu.
Joniston berkata demikian semasa lawatan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu yang mengetuai rombongan pemimpin masyarakat dari Betong ke Kampung Budaya Koisaan di Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.
Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan turut hadir.

Joniston bersama Gerald (tiga dari kanan) dan Pairin (dua dari kanan) semasa lawatan ke Kampung Budaya Koisaan di Penampang.
Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata, kedua-dua kerajaan perlu meneroka kerjasama yang lebih tersusun dalam pemeliharaan budaya dan pembangunan komuniti melalui program bersama dan inisiatif rentas sempadan.
“Terdapat keperluan yang semakin mendesak untuk memperkasa komuniti kita melalui warisan, bukan sahaja bagi memelihara budaya tetapi juga menjadikannya peluang ekonomi, terutama di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau turut mencadangkan sokongan dasar bagi keusahawanan budaya dan inovasi yang digerakkan belia, berasaskan pengetahuan tradisi.
Sehaluan dengan pandangan tersebut, Gerald berkata, Sarawak terbuka untuk menjalin kerjasama lebih mendalam, khususnya dalam penganjuran lawatan budaya timbal balas dan penglibatan belia secara bersama.
“Sebagai negeri jiran, kita seharusnya bekerjasama lebih erat. Budaya kita agak serupa, dan adalah wajar untuk mengadakan lebih banyak pertukaran secara kerap,” katanya.
“Malah, saya ingin menjemput KDCA menyertai sambutan Festival Budaya yang akan diadakan Jun ini di kawasan saya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu.
Gerald turut berkongsi mengenai keterlibatannya dengan pelajar Sabah di Sarawak, khususnya di UNIMAS, di mana beliau sering menggalakkan mereka menyertai acara budaya bagi mengekalkan hubungan dengan warisan mereka.
Dalam menyambut kedatangan rombongan dari Sarawak itu, Pairin berkata, Sabah dan Sarawak berkongsi aspirasi yang serupa dan justeru, inisiatif yang mampu merapatkan hubungan kedua-dua negeri berjiran ini perlu diperkasakan.


































