Anwar Ibrahim mengucapkan selamat jalan kepada Xi Jinping di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam. Xi berlepas ke Kemboja selepas menamatkan lawatan negara tiga hari ke Malaysia. – Pejabat Perdana Menteri
PETALING JAYA: Malaysia dan China setuju menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan melalui rundingan dan undang-undang antarabangsa bagi mengekalkan keamanan di perairan itu.
Menurut Utusan Malaysia, komitmen itu dinyatakan kedua-dua negara melalui kenyataan bersama susulan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China, Xi Jinping yang melakukan lawatan negara tiga hari ke Malaysia berakhir semalam.
Dalam kenyataan itu, kedua-dua pemimpin menyatakan kebimbangan terhadap tindakan-tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan.
Mereka juga bersetuju bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN bagi melaksanakan sepenuhnya Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan (DOC), sambil menantikan pemuktamadan Kod Tatalaku (COC) yang berkesan dan substantif menjelang 2026.
Malaysia dan China juga mengiktiraf bahawa kerjasama maritim merupakan komponen penting dalam Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara.
“Kedua-dua pihak amat menghargai kemajuan yang dicapai melalui pelancaran rasmi Dialog Dua Hala mengenai Pengurusan Isu-Isu Maritim di Laut China Selatan dan menantikan komunikasi serta penyelarasan yang lebih erat bagi memperkukuh lagi kerjasama maritim yang lebih menyerlah pada masa hadapan.
“Kedua-dua pihak akan meneroka peluang kerjasama dalam bidang sains dan teknologi maritim serta meneruskan perbincangan mengenai pembaharuan dan pemeteraian perjanjian-perjanjian bagi memperkukuh lagi kerjasama antara kedua-dua negara,” kata kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar selepas lawatan Jinping, semalam.
Selain itu, Malaysia dan China mengalu-alukan perjanjian pengecualian visa timbal balik yang baru ditandatangani dan dijangka menggalakkan perjalanan rakyat antara kedua-dua negara.
Kedua-dua negara turut menekankan kerjasama berterusan dalam pendidikan, pelancongan budaya, belia, dan sukan.
Dalam bidang ekonomi, Malaysia dan China berikrar untuk memperdalam kerjasama pembangunan dengan memberi tumpuan kepada ekonomi digital, hijau, dan pelancongan.
Kedua-dua negara juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam rantaian industri, bekalan, nilai, data, dan bakat serta melaksanakan Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan (2024-2028).
Malaysia dan China juga menyatakan sokongan kuat terhadap penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin dan keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malaysia dan China turut menggesa pelaksanaan sepenuhnya perjanjian gencatan senjata serta mengulangi Gaza adalah sebahagian daripada wilayah Palestin yang tidak boleh dipisahkan.
“Malaysia dan China mengulangi sokongan kuat mereka terhadap penyelesaian dua negara dan menyeru keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sambil menekankan keperluan mendesak untuk keadilan, maruah, dan keamanan bagi rakyat Palestin,” kata kenyataan itu.

































