Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk membina lebih banyak perumahan kos rendah yang mampu milik untuk B40 di seluruh Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kerajaan Negeri melalui agensi pelaksananya, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) sedang melaksanakan pembinaan perumahan kos rendah sebanyak 225 unit di lima lokasi strategik iaitu 50 unit di Kemabong Tenom, 50 unit di Sukau Kota Kinabatangan, 50 unit di Melalap Tenom, 25 unit di Beluran dan 50 unit di Pitas, melalui biayaan sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri.
“Rumah akan dijual kepada golongan B40 yang berpendapatan rendah dengan harga RM47,000 seunit,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir (ADUN Dilantik) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Dr. Joachim berkata, Kerajaan Negeri melalui LPPB juga telah merancang untuk membina lebih banyak lagi rumah kos rendah bagi golongan B40 ini di dalam RMK13 di bawah biayaan Kerajaan Negeri yang akan datang.
Katanya, ia kini di peringkat penyemakan serta kelulusan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah.


































