Hajiji (depan, kanan) bergambar bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa dakwaan kononnya Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd. gagal melaksanakan Projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas sejak 2015 adalah tidak berasas dan tidak menggambarkan situasi sebenar.
Menurut beliau, pelaksanaan projek itu telah melalui satu proses panjang yang merangkumi perubahan struktur pemilikan, keperluan semakan semula data kejuruteraan, penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri, serta halangan besar akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.
“Dakwaan bahawa syarikat tersebut gagal melaksanakan projek ini tidak tepat. Projek ini telah tertangguh atas pelbagai faktor luar jangka termasuk halangan teknikal, perubahan polisi dan pandemik,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Moktar Radin (Lamag) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Ketua Menteri berkata, projek berkenaan dianugerahkan melalui Surat Tawaran Bersyarat oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada 13 Julai 2015. Struktur pegangan saham pada waktu itu melibatkan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd. sebanyak 60 peratus, Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) 20 peratus, dan Kerajaan Negeri Sabah 20 peratus.
Namun selepas SESB menolak pemilikan sahamnya, Kerajaan Negeri melantik Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) sebagai wakil dengan memegang 40 peratus saham melalui syarikat tujuan khas (SPV) Upper Padas Power Sdn. Bhd., sekaligus memastikan keterlibatan penuh Kerajaan Negeri dalam projek strategik ini.
Beliau berkata, bagi menjamin asas teknikal kukuh, pemaju melaksanakan kajian semula data kejuruteraan dari Disember 2015 hingga Mac 2017. Kajian menyeluruh turut dilakukan dari 2017 hingga 2019 termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar Khas (SEIA), pelepasan mineral dan kerja ukur menggunakan teknologi LiDAR.
Namun, pada Oktober 2018, projek ini sekali lagi ditangguhkan oleh Kerajaan Persekutuan ketika itu. Kelulusan untuk meneruskan projek hanya diperoleh semula daripada Kerajaan Negeri pada Julai 2019 dan daripada Kabinet Persekutuan pada Februari 2020.
Pandemik Covid-19 yang melanda dunia turut memberi kesan kepada projek ini apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kerja-kerja fizikal tergendala dari Mac 2020 hingga November 2021.
Hajiji berkata, tempoh ini menjadi antara cabaran utama yang melambatkan pelaksanaan projek.
“Selepas menerima pengesahan kadar tarif permulaan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pada Januari 2022, pengurusan bekalan tenaga Sabah pula diserahkan kepada Energy Commission of Sabah pada Januari 2024. Proses penetapan tarif dan pematuhan perundangan diteruskan sehingga kelulusan tarif muktamad diperoleh pada September 2024.
“Ketika ini, perbincangan mengenai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) sedang berjalan dan dijangka dimuktamadkan pada Jun 2025, manakala pencapaian “Financial Close” disasarkan pada September 2025. Projek ini dijangka siap pada Disember 2030, selaras dengan sasaran Energy Commission of Sabah.”
Hajiji berkata, apabila siap sepenuhnya, Empangan Ulu Padas akan menjamin margin simpanan kapasiti penjanaan melebihi 25 peratus bagi Grid Sabah dan turut menyumbang kepada kestabilan bekalan air melalui Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) yang mampu membekalkan sehingga 6,000 juta liter air harian.
Beliau turut menyatakan bahawa projek ini menawarkan pelbagai manfaat tambahan termasuk potensi tenaga solar terapung 200 megawatt, kawasan penyelidikan perhutanan dan perikanan air tawar seluas 4,000 hektar, serta menjana lebih RM3 bilion dividen kepada Kerajaan Negeri sepanjang tempoh konsesi 40 tahun.
Selain itu, empangan ini berperanan sebagai pengawal aliran air untuk Empangan Pangi semasa musim kemarau, sekali gus meningkatkan kecekapan penjanaan tenaga sedia ada. Manfaat ini, katanya, menjadikan projek ini sebagai pelaburan strategik jangka panjang untuk negeri Sabah.
Hajiji turut menegaskan bahawa Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd. kini hanya memegang 15 peratus saham dalam projek tersebut dan bukanlah kontraktor utama. Tanggungjawab utama kini digalas oleh Gamuda Berhad, pemegang saham terbesar yang juga pemaju utama dengan sokongan dana sedia ada RM4.65 bilion.
“Isu penamatan penglibatan Kerjaya Kagum tidak timbul kerana sebarang tindakan sedemikian boleh menjejaskan struktur korporat projek, keyakinan pelabur, serta kelulusan teknikal dan kewangan sedia ada,” tegasnya sambil menyatakan bahawa sebarang perubahan mesti melalui proses perundangan yang kompleks.
Beliau menambah, model pembiayaan projek ini berasaskan Perkongsian Awam-Swasta (PPP) selepas permohonan pinjaman mudah RM569 juta oleh SESB ditolak oleh Kerajaan Persekutuan. Di bawah model ini, sektor swasta menanggung sepenuhnya pelaksanaan dan pembiayaan, manakala Kerajaan Negeri bertindak sebagai rakan strategik.
“Kerajaan Negeri percaya struktur sedia ada adalah paling sesuai dan stabil untuk menjamin kejayaan projek ini. Fokus utama kami kini adalah memastikan kelangsungan pelaksanaan projek agar rakyat Sabah dapat menikmati manfaatnya menjelang 2030,” katanya.


































