Tun Musa dan Hajiji bersalaman dengan orang ramai di Dewan Seri Sulaman.
TUARAN: Lebih 10,000 orang menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan keluarga di Dewan Seri Sulaman di sini hari ini.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Acara dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan termasuk penyanyi terkenal Marsha Milan Londoh dan Misha Omar.
Hajiji turut mengiringi Tun Musa menyampaikan Duit Raya kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di daerah ini.

Tun Musa diiringi Hajiji menyampaikan Duit Raya kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.
Ketika ditemui media, Ketua Menteri melahirkan rasa gembira dengan sambutan yang diterima, sambil menyatakan bahawa rumah terbuka ini merupakan acara tahunan bagi membolehkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat menyambut Hari Raya bersama-sama.
“Rumah terbuka ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara kita semua,” katanya.
Antara yang turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Kadzim M. Yahya, anggota Kabinet Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, wakil-wakil rakyat serta pemimpin masyarakat setempat.


































