CAPE CANAVERAL: SpaceX melancarkan penerbangan angkasa manusia pertama yang melalui kawasan kutub bumi pada Isnin, misi orbit yang dibiayai secara persendirian dan melibatkan empat angkasawan.
Menurut Utusan Malaysia, dinamakan Fram2 sempena kapal terkenal Norway yang dibina pada abad ke-19 untuk ekspedisi ke Kutub Utara dan Antartika, misi ini akan menjalankan pelbagai eksperimen termasuk mengambil sinar-X pertama di angkasa dan menanam cendawan dalam keadaan mikrograviti.
Kajian ini diharapkan dapat menyokong usaha perjalanan angkasa jangka panjang ke Marikh.
Kru berlepas menaiki kapsul SpaceX Crew Dragon dengan roket Falcon 9 pada pukul 9.46 malam Isnin (waktu tempatan) dari Pusat Angkasa Kennedy NASA di Florida.
Sorakan bergema di bilik kawalan ketika roket berkuasa tinggi itu meluncur ke udara, menerangi langit malam dengan nyalaan api jingga panjang sewaktu kapal angkasa memulakan perjalanannya merentasi Kutub Utara dan Selatan bumi.
“Dengan semangat perintis yang sama seperti penjelajah kutub terdahulu, kami berhasrat membawa pulang data dan pengetahuan baharu bagi memajukan matlamat jangka panjang penerokaan angkasa,” kata komander misi tersebut, Chun Wang sebelum pelancaran.
Wang merupakan seorang pengembara kelahiran China yang kini warganegara Malta serta pengasas bersama syarikat kripto f2pool dan Skatefish.
Tiga lagi anggota kru lain dipilih sendiri oleh Wang.
Antaranya ialah seorang pengarah filem dari Norway, Jannicke Mikkelsen yang bertugas sebagai komander kenderaan.
Penyelidik robotik dari Jerman, Rabea Rogge bertanggungjawab menjadi juruterbang misi sementara penjelajah kutub dari Australia, Eric Philips sebagai pakar misi dan pegawai perubatan.
Pasukan ini menjalani latihan selama lapan bulan bagi persediaan untuk perjalanan kira-kira empat hari itu, termasuk ekspedisi di kawasan liar Alaska bagi mensimulasikan kehidupan dalam ruang yang sempit di bawah keadaan mencabar.
Sekembalinya ke bumi, kru akan cuba keluar dari kapal angkasa tanpa bantuan perubatan tambahan sebagai sebahagian daripada kajian untuk membantu penyelidik memahami sejauh mana angkasawan boleh melaksanakan tugas asas selepas penerbangan angkasa.
Kecuali bagi misi lunar Apollo, kawasan kutub bumi masih belum pernah dilihat secara langsung oleh angkasawan, termasuk mereka yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Malah, dalam misi Apollo sekali pun, kapal angkasa tidak pernah terbang terus melintasi kutub bumi.
Setakat ini, SpaceX telah melaksanakan lima misi angkasawan swasta, tiga daripadanya dengan kerjasama Axiom Space ke ISS dan dua lagi dalam orbit bebas di sekitar bumi.
Misi pertama ialah Inspiration4 pada tahun 2021, diikuti oleh Polaris Dawn, yang menampilkan aktiviti berjalan di angkasa pertama yang dilakukan oleh angkasawan swasta.
Kedua-dua misi orbit bebas ini telah disewa oleh bilionair pembayaran elektronik, Jared Isaacman yang kini turut dicalonkan oleh Presiden AS, Donald Trump sebagai pentadbir NASA yang baharu.
Isaacman juga merupakan rakan rapat Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk.


































