Dua garis melintang melambangkan kestabilan Dirham UAE dan diinspirasikan daripada bendera negara.
ABU DHABI: Bank Pusat Emiriah Arab Bersatu (CBUAE) melancarkan simbol baharu bagi mata wang negara, dirham, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, agensi berita rasmi, WAM, melaporkan pelancaran simbol baharu itu adalah sebahagian daripada usaha CBUAE untuk menjadikan Dirham UAE sebagai mata wang antarabangsa.
“Huruf yang dipilih, diambil daripada nama Inggeris Dirham, berfungsi sebagai simbol antarabangsa yang mewakili mata wang negara, dengan dua garis melintang melambangkan kestabilan Dirham UAE serta diinspirasikan oleh bendera negara, bagi mengukuh kestabilan kewangan serta monetari,” katanya.
Bank Pusat itu turut mengumumkan perkembangan Penerbitan dan Edaran Dirham Digital, satu inisiatif utama Program Transformasi Infrastruktur Kewangan (FIT) yang diperkenalkan pada 2023.
Perubahan itu membolehkan Dirham Digital diterima sebagai instrumen pembayaran universal (tender sah) di semua saluran, seiring dengan mata wang fizikal.
Simbol untuk Dirham Digital turut diperkenalkan, menampilkan lingkaran yang mengelilingi simbol mata wang fizikal, menggunakan warna bendera UAE.
Individu dan perniagaan boleh mendapatkan Dirham Digital melalui institusi kewangan berlesen seperti bank, rumah pertukaran, syarikat kewangan dan syarikat fintech.
Gabenor CBUAE, Khaled Mohamed Balama berkata, pelancaran mata wang baharu itu mencerminkan kemajuan ketara dalam pelaksanaan program Dirham Digital dan lonjakan besar ke arah merealisasikan visi bank pusat.
“Dirham Digital sebagai platform berasaskan blockchain dengan keupayaan canggih dijangka meningkatkan kestabilan kewangan, keterangkuman, daya tahan dan memerangi jenayah kewangan.
“Ia akan membuka ruang kepada pembangunan produk digital inovatif, perkhidmatan baharu dan model perniagaan, selain mengurangkan kos serta meningkatkan askes ke pasaran antarabangsa,” katanya.


































