Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri hari ini meluluskan pemberian Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan tahun ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bantuan khas ini akan diberikan dalam dua fasa, iaitu RM500 sebelum Hari Raya Aidilfitri dan RM500 lagi sempena Pesta Kaamatan.
Menurutnya, keputusan ini sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk mensejahterakan penjawat awam serta menghargai sumbangan mereka.
“Keputusan ini telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri Sabah hari ini. Pembayaran akan dibuat sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam dan berharap bantuan khas ini akan menjadi dorongan untuk mereka terus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.


































