Minatnya dalam bidang sains bukan kepalang. Dari makmal hingga ke gunung, beliau komited melakukan penyelidikan dalam bidang sains bioperubatan.
Menurut Utusan Malaysia, pemilik nama Dr. Nur Alia Johari ini pernah mengumpul sampel nyamuk di kawasan kejiranan Malaysia sehinggalah mengkaji bakteria di Antartika.
Pengalaman ini membentuk dirinya menjadi seorang saintis dan penyelidik muda yang berjaya.
Nur Alia, 34, merupakan pensyarah kanan dan Ketua Makmal Penyelidikan Kolaboratif Mikrobiologi Lanjutan (AMCRL) di Universiti IMU menjadi teladan terbaik apabila sains berpadu dengan jiwa kembara.
Dorongan untuk menyelidik bermula daripada keinginannya untuk memahami punca ekzema serta rangkaian tindak balas yang berlaku pada kulitnya.
Begitupun, semasa pengajian sarjana muda dalam bidang kesihatan global di Imperial College London, dia belajar melihat sesuatu dalam konteks yang lebih luas, seperti faktor risiko sesuatu penyakit, siapa yang paling terjejas dan bagaimana mendapatkan rawatan yang sesuai.
Ketika meneruskan pengajian sarjana dalam bidang kesihatan awam di universiti yang sama, Nur Alia mempelajari kemahiran pemetaan penyakit menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS).
Dengan kemahiran ini, dia menganalisis data 90,000 kanak-kanak di Yaman yang menghidap Skistosomiasis, penyakit yang menyerang usus dan saluran kencing akibat jangkitan cacing parasit.
“Saya tidak dapat ke sana kerana konflik Kebangkitan Arab di Timur Tengah, sebaiknya akan ke negara itu dan berada sendiri di lapangan jika berpeluang,” kata penerima Anugerah Penyelidik Muda bagi salah satu penyelidikan terbaik di Kongres Asia ke-11 Mengenai Penyakit Berjangkit Pediatrik.
Kajian tersebut diterbitkan bersama rakan penyelidik dari Kementerian Kesihatan Awam dan Populasi Yaman, yang memberikan gambaran pertama mengenai mudarat anemia dalam kalangan kanak-kanak sekolah di negara itu.
Dia kemudiannya pulang ke Malaysia dan menyertai IMU untuk menyelesaikan PhD dalam Sains Perubatan dan Kesihatan. Penyelidikannya tertumpu pada epidemiologi denggi di Malaysia, dengan mengkaji jaringan faktor risiko terlibat.
Sepanjang kajian, penyelidik muda ini mengumpul sampel jentik-jentik setiap dua minggu selama setahun dari 18 buah rumah di Lembah Klang.
Kehadirannya yang kerap di komuniti menyebabkan seorang kanak-kanak menggelarnya sebagai ‘jie-jie nyamuk’ (kakak nyamuk), manakala keretanya dikenali ‘kereta nyamuk’ kerana dipenuhi ratusan sampel jentik-jentik.
Kajian seperti ini amat penting kerana ia menambah pengetahuan mengenai sesuatu penyakit dan dalam kes ini, demam denggi di Malaysia. Inilah inti utama dalam tugasannya, iaitu menilai dan memahami beban penyakit di kawasan tertentu dengan matlamat membantu program kawalan penyakit di peringkat nasional serta merancang intervensi kesihatan awam yang lebih berkesan dan relevan.
CABARAN DI ANTARTIKA
Pada 2019, seorang rakan sekerja bertanya kepadanya jika berminat menyertai ekspedisi ke Antartika bersama Kajian Antartika British (BAS) sebagai saintis lapangan. Kerana sukakan cabaran dan terinspirasi oleh mendiang Profesor Chu Wan Loy yang menerajui penyelidikan kutub di IMU, Nur Alia terus menyahut peluang ini.
Baginya, sntartika adalah ‘makmal’ semula jadi. Dengan aktiviti manusia yang terhad, ia adalah tempat terbaik untuk mengkaji bagaimana komuniti bakteria berinteraksi.
Dia ditempatkan di Stesen Penyelidikan Signy untuk musim panas 2019/2020 bersama enam anggota lain, yang kesemuanya lelaki.
“Dalam perjalanan ke selatan menaiki kapal RRS James Clark Ross, ada juga saintis wanita lain, tetapi saya satu-satunya wanita Asia (dan Malaysia) yang pergi ke selatan bersama BAS pada ketika itu. Ia benar-benar satu pengalaman yang mengubah hidup saya,” katanya.
Nur Alia menceritakan bagaimana perlu menyesuaikan diri untuk hidup di pangkalan, terlibat dalam kerja-kerja manual seperti mengecat dan membaiki struktur serta memasak.
Malah sempat memperkenalkan rendang dan nasi lemak dengan mengubah suai resipi.
“Saya gantikan asam keping dengan jus limau dan serai dengan teh serai,” kongsinya.Sebelum ekspedisi, Alia menghabiskan masa seminggu di pinggir bandar Cambridge, iaitu di ibu pejabat BAS bagi mendapatkan sijil dalam teknik kelangsungan hidup peribadi.
“Mereka mempunyai kemudahan mensimulasi ombak dan hujan, serta mengajar cara terjun meninggalkan kapal dari platform setinggi tiga meter dan bagaimana untuk membalikkan rakit penyelamat di dalam air,” kata Nur Alia.
“Saya turut berhadapan cabaran getir dalam mempelajari kemahiran mendaki gunung. Saya perlu berlatih berjalan di atas ais dan glasier menggunakan crampon (alat cengkaman yang dipasang pada kasut) serta kapak ais, sambil membawa peralatan penuh seberat 20 hingga 25 kilogram (kg),” katanya.
Cabaran terbesar bukanlah fizikal semata-mata, tetapi bagaimana berdepan dengan pelbagai personaliti dalam pasukan.
Wanita seperti Nur Alia bukan lagi asing dalam bidang sains dan teknologi. Wanita sudah menjadi penyumbang utama dalam sains dan kita membawa nilai yang sama penting dalam bidang ini seperti orang lain.
Buat wanita muda yang sedang mempertimbangkan masa depan kerjaya mereka dalam bidang sains, nasihat Nur Alia, peluang dalam bidang ini sebenarnya sangat luas dan tidak terbatas, lebih-lebih lagi dengan kemajuan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan data besar.
“Menceburi bidang ini dan mencari cabang yang sesuai dengan minat mungkin memerlukan masa, kerana perlu meneroka setiap aspek bagi memahami kesesuaiannya. Namun, apabila sudah menemui bidang yang diminati, teruslah ‘terjun’ dan jadikan idea serta pemikiran anda satu realiti. Itulah yang menjadikan perjalanan ini begitu menarik,” katanya.


































