BANGKOK: Seorang lelaki di wilayah Ratchaburi, Thailand terkejut apabila menemukan bangkai seekor ular dalam bungkusan aiskrim yang dibelinya.
Menurut Utusan Malaysia, gambar ‘ais krim ular’ itu dikongsikan individu terbabit di Facebook pada Selasa lalu dan menjadi tular tidak lama kemudian.
Setakat semalam, hantaran tersebut sudah mengumpulkan 8,400 reaksi, lebih 2,000 komen dan 9,100 perkongsian.
Kepala ular berwarna hitam dan kuning itu dapat dilihat dengan jelas dalam gambar yang dimuat naik.
Dalam hantaran tersebut, lelaki itu mendakwa dirinya membeli aiskrim kacang hitam dari sebuah gerai bergerak.
Ramai netizen meluahkan rasa terkejut dan ngeri terhadap penemuan yang tidak disangka itu.
Beberapa pengguna media sosial turut membuat spekulasi mengenai spesies tersebut, dan ramai yang meneka ia mungkin seekor chrysopelea ornata atau ular pokok emas.
Menurut laman web Taman Negara Thailand, ular pokok emas mempunyai bisa yang lemah dan boleh ditemui di beberapa negara, termasuk India, Bangladesh, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.
































