Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman sewaktu menghadiri sesi forum dengan Pengerusi kumpulan SoftBank, Masayoshi Son di Tokyo, pada 3 Februari lepas.
NEW YORK: Konsortium pelabur yang diketuai jutawan terkenal, Elon Musk menawarkan AS$97.4 bilion (RM435 bilion) untuk mengambil alih OpenAI, syarikat yang menghasilkan ChatGPT.
Menurut Utusan Malaysia, peguam jutawan, Marc Toberoff mengesahkan bahawa beliau sudah mengemukakan tawaran untuk ‘semua aset’ syarikat teknologi tersebut kepada lembaga pengarah.
Tawaran untuk mengambil alih OpenAI disokong oleh syarikat AI milik Musk, xAI, serta beberapa firma ekuiti swasta, termasuk Baron Capital Group dan Valor Management.
“Sudah tiba masanya untuk OpenAI kembali kepada sumber terbuka, kuasa yang memfokuskan keselamatan dan kebaikan seperti dahulu,” kata Musk dalam satu kenyataan.
Tawaran bernilai AS$97.4 bilion itu jauh lebih rendah daripada penilaian AS$157 bilion (RM701 bilion) yang diberikan kepada syarikat itu dalam pusingan pembiayaan terakhirnya pada Oktober tahun lalu.
Dalam satu kenyataan, Toberoff berkata, konsortium itu bersedia untuk mempertimbangkan tawaran yang menyamai atau melebihi sebarang bidaan lebih tinggi.
“Sebagai pengasas bersama serta pemimpin industri teknologi paling inovatif dalam sejarah, Musk adalah individu paling layak untuk melindungi dan membangunkan teknologi OpenAI,” kata peguam Musk itu.
Tawaran tersebut merupakan satu lagi babak dalam pertarungan lama antara Musk dengan Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, mengenai masa depan syarikat pemula yang menjadi pusat ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Sebagai respons, Altman memuat naik hantaran di platform media sosial milik Musk, X, yang secara sinis menolak tawaran tersebut.
“Tidak, terima kasih tetapi kami akan membeli Twitter dengan harga AS$9.74 bilion (RM43.53 bilion) jika anda mahu,” katanya.
OpenAI diiktiraf secara meluas sebagai syarikat yang membantu membawa teknologi AI ke arus perdana serta mencetuskan pelaburan besar dalam sektor tersebut.
Musk dan Altman mengasaskan syarikat pemula itu pada 2015 sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan.
Namun, hubungan mereka menjadi tegang sejak Musk, yang kini pengasas Tesla dan X, meninggalkan syarikat itu pada 2018.
Altman kini dikatakan sedang menyusun semula OpenAI menjadi sebuah entiti berasaskan keuntungan dengan melucutkan lembaga bukan untungnya, langkah yang menurut Musk berbeza daripada misi asalnya untuk membangunkan AI demi kebaikan manusia.
Bagaimanapun, OpenAI berpendapat peralihan kepada syarikat berasaskan keuntungan adalah perlu untuk mendapatkan dana mencukupi bagi membangunkan model kecerdasan buatan terbaik.
































