SYDNEY: Kawasan Tenggara Australia dilanda gelombang haba pada Isnin, meningkatkan risiko kebakaran hutan dan menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan larangan kebakaran di beberapa kawasan di Victoria.
Menurut Utusan Malaysia, suasana terik itu mengingatkan rakyat Australia tentang musim panas yang dahsyat pada 2019-2020 yang dikenali sebagai ‘Black Summer’.
Bencana itu menyaksikan kebakaran hutan merosakkan kawasan seluas Turkiye, mengorbankan 33 nyawa dan membunuh ribuan haiwan.
Pada Isnin, Jabatan Meteorologi Australia memberi amaran suhu di ibu kota Victoria, Melbourne, boleh mencecah 41 darjah Celsius.
Catatan suhu itu melebihi 14 darjah Celsius daripada suhu purata maksimum bulanan untuk Januari.
Pihak berkuasa mengklasifikasikan bahaya kebakaran pada tahap ekstrem, iaitu skala kedua tertinggi di lima wilayah Victoria.
Ahli Meteorologi Kanan di jabatan tersebut, Dean Narramore memberitahu Australian Broadcasting Corp, keadaan panas dan berangin itu berpotensi mencetuskan “kebakaran besar” menjelang perubahan cuaca sejuk yang dijangka tiba di Victoria pada Ahad malam.
Sementara itu, negeri-negeri New South Wales, Australia Selatan, Australia Barat, Queensland, dan Wilayah Utara turut diletakkan di bawah amaran gelombang haba.
Di New South Wales, negeri dengan jumlah penduduk terbanyak di Australia, Narramore meramalkan keadaan gelombang haba yang rendah hingga teruk.
Keadaan cuaca itu dijangka berpanjangan hari ini dan semakin memuncak esok.
































