WASHINGTON: Pihak berkuasa menangkap seorang lelaki yang mengancam untuk membunuh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dengan beraksi di TikTok sambil memegang senapang.
Menurut Utusan Malaysia, Douglas Thrams, 23, memuat naik beberapa video di TikTok pada Isnin, ketika Trump dilantik, dan dua hari kemudian mengancam keganasan antikerajaan, menurut aduan jenayah.
“Setiap bangunan kerajaan AS perlu dibom segera,” kata Thrams dalam satu video tersebut.
Merujuk kepada Trump, lelaki terbabit juga menggunakan kata-kata kesat dan mengancam untuk membunuh presiden itu.
Trump pernah menjadi sasaran dua percubaan pembunuhan tahun lalu, termasuk di perhimpunan di Butler, Pennsylvania, yang menyebabkan beliau cedera di bahagian telinga.
Dalam video lain, Thrams memegang senapang dan mengetuknya, menurut ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam afidavit.
Suspek, yang berasal dari negeri barat tengah Indiana, ditangkap pada Khamis lalu dan didakwa melakukan komunikasi antara negeri dengan ancaman untuk mencederakan.
































