LONDON: Ratusan penerbangan dibatalkan puluhan sekolah ditutup dan berjuta-juta penduduk diarah tidak keluar rumah ketika Ribut Eowyn membadai United Kingdom (UK).
Menurut Utusan Malaysia, Ireland merekodkan tiupan angin kencang luar biasa sehingga 183 kilometer sejam pada awal pagi berhampiran pantai Galway di barat.
“Ini menjadikannya tiupan angin terkuat yang direkodkan di Ireland, melebihi rekod sebelumnya yang ditetapkan pada tahun 1961 semasa Taufan Debbie,” lapor Jabatan Meteorologi.
Pengendali feri terpaksa membatalkan banyak lintasan Laut Ireland akibat ribut itu dengan 715,000 kediaman terputus bekalan elektrik.
Menteri Pertama Ireland Utara, Michelle O’Neill memberi amaran terdapat ancaman besar terhadap nyawa dan harta benda, menyifatkan wilayah itu kini di mata ribut.
Lapangan Terbang Dublin membatalkan lebih 110 penerbangan dan operasi turut terjejas di Lapangan Terbang Belfast di Ireland Utara dan Aberdeen, Edinburgh serta Glasgow di Scotland.
Temu janji perkhidmatan kesihatan turut dibatalkan dengan hanya jabatan kecemasan dan penjagaan khas sahaja beroperasi.
































