PHETCHABUN: Seramai empat pelajar cedera akibat terkena percikan api semasa menyaksikan eksperimen sains yang dijalankan oleh seorang guru di sekolah berdekatan wilayah Phetchabun, Thailand.
Menurut Utusan Malaysia, media dalam talian melaporkan, kejadian tersebut berlaku apabila guru yang bertanggungjawab, dikenali sebagai Lerkchai, menggunakan minyak enjin dalam peralatan dapur DIY.
Minyak enjin kebiasaannya tidak mudah terbakar. Namun, Lerkchai percaya bekas yang digunakan untuk menyimpan minyak enjin itu sebelum ini pernah digunakan untuk menyimpan petrol yang mudah terbakar.
Situasi itu menyebabkan percikan api berlaku ketika dia menuangkan cecair itu ke dalam peralatan tersebut.
Akibatnya, empat pelajar yang berada berhampiran aktiviti tersebut mengalami kecederaan terbakar pada muka dan badan.
Mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang.
Insiden itu menjadi tular dalam media sosial, sehingga menuai komen daripada pengguna internet yang berharap agar pelajar tersebut segera pulih.
Beberapa pelajar lain yang turut berada di tempat kejadian berkata, ia adalah kemalangan dan bukan kesalahan guru tersebut.
Pengetua sekolah berkata, kejadian berlaku semasa kelas sains untuk pelajar tahun lapan dan guru tersebut mengambil tindakan segera untuk membantu pelajar yang cedera serta memaklumkan kepada ibu bapa mereka.
































