LOS ANGELES: Kebakaran hutan baharu yang merebak dengan pantas dikesan kira-kira 80 kilometer (km) ke utara Los Angeles.
Menurut Utusan Malaysia, bencana baharu itu memusnahkan sekitar 5.3km persegi tanah selepas dua kebakaran besar yang memusnahkan bandar metropolitan itu selama lebih dua minggu berjaya dikawal.
Pegawai bomba berkata, kebakaran Hughes di kawasan Tasik Castaic di Los Angeles County memaksa pemindahan dengan amaran ancaman serta-merta kepada nyawa.
Sebahagian besar selatan California kekal di bawah amaran bendera merah untuk risiko kebakaran yang melampau akibat angin kencang dan kering.
Bilangan penduduk yang berada di bawah arahan pemindahan tidak dinyatakan namun data menunjukkan kira-kira 18,600 orang tinggal dalam komuniti Castaic.
Anggota bomba dari Hutan Nasional Angeles dikerah untuk mengawal kebakaran dengan keseluruhan taman seluas 2,800km persegi di Pergunungan San Gabriel ditutup kepada pelawat.
“Ketika kebakaran baharu sedang marak, dua kebakaran maut yang telah melanda Los Angeles semakin terkawal.
“Kebakaran Eaton yang menghanguskan 57km persegi di timur Los Angeles adalah 91 peratus terkawal, manakala kebakaran Palisades yang lebih besar dan memusnahkan 95km persegi tanah di sebelah barat Los Angeles kini sudah 68 peratus terkawal,” kata Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire)
Menurut Call Fire, sejak dua kebakaran itu berlaku pada 7 Januari lalu, api marak telah membakar kawasan yang hampir sebesar Washington, membunuh 28 orang dan merosakkan atau memusnahkan hampir 16,000 struktur.
“Pada satu ketika 180,000 orang berada di bawah arahan pemindahan,” tambah pegawai Los Angeles County.
Peramal AccuWeather mengunjurkan kerosakan dan kerugian ekonomi lebih daripada AS$250 billion (RM1.1 trillion).


































