CASTAIC: Anggota bomba bergelut sepanjang malam untuk memadam kebakaran baharu yang meletus berhampiran Los Angeles dan keadaannya dilaporkan semakin terkawal, walaupun cuaca berbahaya berterusan di seluruh California Selatan.
Menurut Utusan Malaysia, usaha besar-besaran itu melibatkan pesawat, jentolak dan 4,000 anggota ketika api melanda lereng bukit di Castaic, kira-kira 56 kilometer (km) di utara Los Angeles.
Kira-kira 31,000 orang diarah meninggalkan rumah mereka, menambah kesengsaraan akibat dua kebakaran maut yang melanda bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu bulan ini.
Kebakaran Hughes yang baru muncul terus marak dalam sekelip mata dan memusnahkan 4,050 hektar tanah, tetapi kadarnya semakin perlahan dengan ketara selepas beberapa jam pertama.
Anggota bomba berkata, kebakaran itu 14 peratus dapat dikawal namun Pegawai Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Bryan Lewis memberi amaran angin kencang akan berterusan mencecah 80 kilometer sejam.
“Kami menjangkakan kelajuan angin akan berkurangan. Kemudian esok, seperti lewat pagi atau petang, angin sepatutnya lebih baik.
“Walau bagaimanapun, keadaan yang tersangat kering berterusan, dengan kelembapan relatif satu digit merentasi kebanyakan kawasan,” katanya sambil menyifatkan keadaan masih berbahaya.
Hujan yang amat diperlukan pada hujung minggu dijangka membawa kelegaan kepada wilayah yang tidak mengalami hujan yang ketara selama lapan bulan, dengan ramalan sehingga satu sentimeter untuk sebahagian besar Los Angeles.
“Ia akan membantu dalam tempoh terdekat. Tetapi, untuk benar-benar mengeluarkan kami daripada musim kebakaran ini, kami memerlukan sekurang-kurangnya beberapa inci lagi,” kata Lewis.
Aktiviti manusia, termasuk pembakaran bahan api fosil tanpa had selama beberapa dekad, telah menghangatkan planet ini dan mengubah corak cuaca bumi.
Keadaan itu menyebabkan tempoh basah lebih lembap dan tempoh kering semakin kering, ribut bertambah kuat dan menjadikan populasi lebih terdedah kepada bencana.
Selepas bencana kebakaran besar di Palisades dan Eaton yang memusnahkan lebih 16,200 hektar tanah dan mengorbankan 27 orang, para pegawai sedang bersiap sedia untuk kemungkinan banjir lumpur dan aliran serpihan dalam hujan lebat.
Pekerja di Los Angeles County telah menyediakan beg pasir, batu kelikir dan penghadang konkrit yang boleh digunakan jika hujan semakin lebat.
Gabenor California, Gavin Newsom berkata, beliau sudah mengerahkan beratus-ratus kakitangan untuk cuba mengelak masalah yang disebabkan oleh hujan, termasuk lereng bukit yang runtuh dan bahan kimia beracun yang dihanyutkan dari rumah yang musnah.
“Tanpa tumbuh-tumbuhan untuk menambat tanah, hujan lebat boleh membawa kepada aliran serpihan secara tiba-tiba dan bergerak pantas, yang boleh memusnahkan rumah, menyekat jalan, dan menimbulkan risiko serius kepada nyawa dan harta benda.
“Negeri ini juga bekerjasama rapat dengan rakan kongsinya untuk menghalang aliran toksik daripada memasuki laluan air dengan memasang penghalang penapisan fizikal,” jelasnya.
Presiden, Donald Trump yang mendakwa California boleh menyelesaikan masalah airnya dengan hanya memutar spigot, dijangka melawat kawasan itu hari ini.
Pegawai berkata, Trump akan bertemu dengan anggota bomba dan orang ramai yang terjejas akibat kebakaran itu.
































