Lee Tian Hock
KUALA LUMPUR: Habuan lumayan berupa kondominium di ibu kota menanti skuad bola keranjang lelaki dan wanita negara sekiranya berjaya membawa pulang pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember ini.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, setiap pemain akan menerima sebuah unit kondominium yang bernilai RM330,000 sekiranya berjaya merealisasikan sasaran berkenaan.
Beliau berkata, insentif berkenaan sebagai motivasi kepada pemain selain penghargaan atas kerja keras dan pengorbanan mereka demi mengharumkan nama negara.
“Jika pasukan lelaki dan wanita kita berjaya membawa pulang emas, setiap pemain akan menerima satu unit kondominium bernilai RM330,000 di Cheras.
“Ini adalah penghargaan tertinggi kami untuk pemain yang memberikan segalanya demi negara,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Makan Malam Tahunan MABA, Isnin.
Difahamkan, kondominium yang ditawarkan itu lengkap dengan dua bilik tidur dan berkeluasan 700 kaki persegi, terletak di kawasan strategik dengan kemudahan moden.
Untuk rekod, kali terakhir skuad bola keranjang meraih emas ialah pada edisi 2017 menerusi skuad wanita ketika Malaysia menjadi tuan rumah.
Sementara iu, Tian Hock yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Matrix Concepts menjangkakan saingan Sukan SEA tahun ini bertambah sengit dengan beberapa negara seperti Filipina, Kemboja, Vietnam dan Indonesia dijangka menyenaraikan pemain naturalisasi.
“MABA juga sedang memohon kelulusan untuk menaturalisasikan dua pemain lelaki dan seorang pemain wanita bagi pasukan 3X3 dan 5X5.
“Tanpa pemain naturalisasi, sukar untuk kita bersaing kerana bola keranjang memerlukan ketinggian dan kekuatan fizikal,” katanya.
Dua pemain lelaki yang dalam proses dinaturalisasikan ialah Tychique Bosango dari Republik Demokratik Congo dan Joseph Obasa dari Nigeria manakala pemain wanita Aalia Carlson yang memiliki darah kacukan Malaysia-Amerika Syarikat.
,


































