KABUL: Pemangku Timbalan Menteri Luar Taliban, Sher Mohammad Abbas Stanekzai menggesa kepemimpinan tertinggi membuka sekolah untuk pelajar perempuan Afghanistan.
Menurut Utusan Malaysia, Sher Mohammad, yang sebelum ini mengetuai pasukan perunding di pejabat politik Taliban di Doha sebelum pasukan Amerika Syarikat (AS) berundur dari Afghanistan pada 2021, menegaskan sekatan terhadap pendidikan wanita tidak selaras dengan undang-undang Syariah.
“Kami meminta pemimpin Emiriah Islam untuk membuka pintu pendidikan.
“Pada zaman Nabi Muhammad SAW, pintu-pintu ilmu dibuka kepada lelaki dan wanita,” katanya seperti dilaporkan penyiar tempatan, Tolo.
Komen itu adalah antara kritikan awam paling kuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini oleh seorang pegawai Taliban mengenai penutupan sekolah.
Taliban mendakwa, mereka menghormati hak wanita mengikut tafsiran terhadap undang-undang Islam dan budaya Afghanistan.
Mereka membuat pusingan-U terhadap janji untuk membuka sekolah menengah bagi pelajar perempuan pada 2022, dan sejak itu mengatakan sedang merancang membuka semula tanpa memberikan garis masa.
Taliban turut menutup universiti untuk penuntut wanita pada akhir 2022.
Dasar tersebut dikecam secara meluas di peringkat antarabangsa, termasuk ulama Islam dan diplomat Barat, yang menegaskan pengiktirafan rasmi Taliban disekat sehingga terdapat perubahan dalam dasar mereka terhadap wanita.
































