TAIPEI: Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda Taiwan, mencederakan 27 orang dan mencetuskan tanah runtuh di beberapa lokasi, lapor pihak berkuasa tempatan.
Menurut Utusan Malaysia, seorang wartawan AFP di ibu kota Taipei merasakan gegaran selama hampir seminit apabila gempa bumi cetek itu melanda sejurus selepas tengah malam.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa direkodkan 12 kilometer di utara Yujing, sebuah daerah penanaman mangga di selatan Taiwan.
Video yang disiarkan di Facebook dan disahkan oleh AFP menunjukkan anggota bomba menyelamatkan tiga orang termasuk seorang kanak-kanak yang terperangkap dalam sebuah rumah yang runtuh di daerah Nanxi.
Di lokasi lain, pihak berkuasa berkata, seorang cedera akibat terkena serpihan yang runtuh manakala dua orang diselamatkan dari lif.
Lebih 50 gegaran susulan direkodkan, kata Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan yang melaporkan gempa awal pada magnitud 6.4.
Siling beberapa rumah runtuh, manakala jalan raya terhalang oleh batu dan tanah runtuh, lapor Agensi Bomba Negara.
Tetapi agensi itu berkata, tiada kerosakan besar dan kehilangan nyawa dilaporkan daripada gempa itu setakat ini.
Namun gegaran menyebabkan sekolah ditutup dan kerja pejabat dibatalkan di daerah Nanxi serta Perbandaran Dapu di daerah pergunungan Chiayi, utara pusat gempa.
“Beberapa jalan di Dapu rosak dan tidak boleh dilalui. Bekalan air dan elektrik juga terjejas,” kata Ketua Daerah Chiayi, Weng Chang-liang.
Gergasi pembuat cip Taiwan, TSMC berkata, syarikat itu memindahkan pekerja dari beberapa kilang di tengah dan selatan apabila gempa itu berlaku.
































