JAKARTA: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan lima lagi hilang akibat bencana tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat di wilayah Jawa Tengah, Indonesia, lapor pegawai polis tempatan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Bandar Pekalongan, Doni Prakoso memberitahu penyiar tempatan Metro TV, tanah runtuh melanda kawasan itu sejak pagi semalam dan anggota penyelamat sedang giat berusaha mencari mangsa yang masih hilang.
“Seramai 16 orang disahkan maut. 10 lagi mangsa yang cedera telah dirujuk ke hospital dan pusat kesihatan komuniti terdekat.
“Hujan di Pekalongan sangat lebat dan kawasan paling teruk terjejas adalah di kawasan berbukit serta pergunungan,” katanya.
Rakaman televisyen menunjukkan sukarelawan mengambil mayat dari tanah runtuh di atas pengusung dengan lumpur tebal menutupi jalan.
Indonesia terdedah kepada tanah runtuh semasa musim hujan, biasanya antara November dan April, tetapi beberapa bencana yang disebabkan oleh cuaca buruk telah berlaku di luar musim itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada November tahun lalu, banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat di barat Indonesia mengorbankan 27 orang.
Pada Mei, sekurang-kurangnya 67 orang maut selepas hujan lebat menyebabkan banjir kilat di Sumatera Barat dan pencemaran campuran abu, pasir serta batu kerikil daripada letusan Gunung Marapi yang dihanyutkan ke kawasan perumahan.
































