Pemain-pemain Manchester United kelihatan sugul semasa keluar dari padang selepas tewas 3-1 kepada Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, semalam.
LONDON: Pengendali Manchester United, Ruben Amorim yang berang dengan kekalahan 3-1 kepada Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam menyifatkan pasukan Red Devils sekarang merupakan yang paling teruk dalam sejarah kelab itu.
United telah mencatat enam kali kekalahan daripada 11 perlawanan sejak Amorim tiba dari Sporting Lisbon menggantikan Erik ten Hag yang dipecat.
“Kami pasukan paling teruk. Mungkin dalam sejarah Manchester United. Saya tahu kamu mahukan tajuk berita. Saya beritahu ini kerana ia memang begitu. Nah anda sudah dapat tajuknya,” kata Amorim selepas anak-anak buahnya tumbang di Old Trafford.
Pada masa ini United berada di tangga ke-13 liga, dan walaupun mereka masih jauh daripada 10 mata di zon penyingkiran, pasukan itu masih lagi berdepan dengan kesukaran untuk mencari prestasi terbaik.
Dalam aksi semalam, Yankuba Minteh mengejutkan tuan rumah dengan jaringan gol awal pelawat, namun United bingkas menyamakan kedudukan menerusi Bruno Fernandes yang menyempurnakan sepakan penalti.
Namun, kedudukan terikat itu tidak bertahan lama, apabila Brighton kembali melakukan asakan sebaik babak kedua perlawanan dan memperoleh dua lagi jaringan menerusi Kaoru Mitoma dan Georginio Rutter sekali gus melenyapkan harapan tuan rumah untuk mencari kemenangan di laman sendiri.
Musim ini sahaja United telah mengalami enam kekalahan di laman sendiri, rekod paling buruk dalam 12 perlawanan pembukaan sejak 1894-94 dan tewas dalam 10 daripada 22 perlawanan liga musim ini.
“Apakah ini yang anda mahu berikan kepada peminat? Bayangkan jika saya peminat. Kami dapat jurulatih baharu yang lebih banyak kalah daripada jurulatih lama. Saya faham tentang ini,” kata Amorim.
Amorim yang tiba di Old Trafford dengan falsafah permainannya, 3-4-3 dikatakan tidak sesuai dengan skuad United, tetapi dalam keadaan dia sedang memikirkan cara mengelak daripada terjerumus ke dalam zon penyingkiran, Amorim masih berdegil enggan mengubah formasi tersebut.
“Saya tidak akan mengubah apa yang saya tetapkan walaupun apa yang terjadi. Saya tahu ia akan berjaya tetapi ia perlukan usaha untuk terus bersaing,” katanya.


































