Asap memenuhi ruang udara akibat kebakaran di Loji Janakuasa Moss Landing di Lebuhraya Pantai Pasifik di Monterey Bay, California.
SAN FRANCISCO: Kebakaran di loji penyimpanan bateri litium terbesar dunia di California Utara mencetus kepulan asap bertoksik ke atmosfera di seluruh kawasan sekitar.
Menurut Utusan Malaysia, kebakaran bermula petang Khamis lalu namun pegawai bomba diarah meninggalkan kawasan itu dan membiarkan api yang masih marak dipadamkan secara semula jadi ekoran risiko letupan jika air digunakan.
Loji janakuasa Moss Landing yang dikendalikan oleh Vistra Corp sudah dikosongkan dengan lebih 1,500 penduduk di kawasan sekitarnya diarah berpindah.
Tiada kecederaan dilaporkan, namun pegawai kesihatan menggesa penduduk berhampiran supaya menutup tingkap dan pintu, mengehadkan aktiviti luar serta sentiasa memantau kemas kini kualiti udara.
Lebuhraya berhampiran kemudahan itu kekal ditutup berikutan situasi yang berbahaya, dengan lalu lintas diubah hala ke laluan alternatif.
Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) menyertai pihak berkuasa tempatan untuk memantau kualiti udara, mengerahkan pakar dan peralatan untuk menilai potensi risiko kepada kesihatan awam.
Kemudahan Moss Landing yang diperluaskan pada tahun 2023, terletak berhampiran tanah lembap Elkhorn Slough yang sensitif terhadap alam sekitar.
Penduduk sekitar dan pihak berkuasa tempatan semakin bimbang mengenai kemungkinan pelepasan bahan kimia toksik hidrogen fluorida ke kawasan itu.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), gas hidrogen fluorida boleh merengsakan mata, mulut, tekak, paru-paru dan hidung, malah pendedahan yang terlalu banyak kepada gas itu boleh membawa maut.
“Ini benar-benar satu amaran penting untuk industri ini,” kata Penyelia Daerah Monterey, Glenn Church dalam sidang akhbar tentang kebakaran itu.
Church menggelar insiden kebakaran itu sebagai ‘senario terburuk’, menekankan keperluan untuk akauntabiliti dan langkah keselamatan yang dipertingkatkan ketika sektor tenaga bergerak ke arah penyelesaian yang mampan.
































