Donald Trump mengancam untuk melaksanakan tarif yang meluas apabila mengambil alih Rumah Putih bulan depan.
WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tiba di Washington semalam, menjelang majlis angkat sumpah yang dijadualkan pada Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, ribuan penunjuk perasaan berarak di jalan-jalan utama Washington pada Sabtu, sebagai membantah dasar baharu Trump.
Trump bersama isteri, Melania dan ahli keluarga, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles sebelum menghadiri acara tertutup, termasuk pertunjukan bunga api di kelab golf miliknya di Virginia, berhampiran Washington.
Majlis angkat sumpah yang lazimnya diadakan di tangga Capitol AS dipindahkan ke lokasi tertutup kerana cuaca sejuk luar biasa yang bakal melanda Washington.
“Saya rasa keputusan ini adalah tepat kerana cuaca kelihatan sangat teruk dari segi kesejukan, dan saya rasa ia boleh membahayakan ramai orang,” kata beliau.
Selepas menghadiri majlis peribadi pada Sabtu, Trump dijadualkan meletakkan kalungan bunga di Tanah Perkuburan Negara Arlington pada Ahad sebelum menyertai perhimpunan penyokongnya di Washington.
Beliau juga dijangka menyampaikan ucapan pada satu majlis makan malam pada malam yang sama.
Sementara itu, dalam temu bual bersama NBC News, Trump mendedahkan rancangannya untuk menandatangani sejumlah besar perintah eksekutif sebaik sahaja mengangkat sumpah, dengan menyatakan tindakan itu akan bermula sejurus selepas ucapan perasmiannya.
“Jumlah sebenar perintah eksekutif yang akan ditandatangani belum ditentukan, tetapi ia pasti mencatat rekod baharu,” katanya.
Beliau dijangka membatalkan pelbagai dasar yang diperkenalkan semasa pentadbiran Presiden Joe Biden, termasuk memulakan program pengusiran besar-besaran pendatang haram.
































