Paetongtarn Shinawatra
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra mendedahkan hampir menjadi mangsa penipuan suara yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyamar sebagai pemimpin asing.
Menurut Utusan Malaysia, Paetongtarn yang berkongsi insiden itu dalam mesyuarat Kabinet berkata, penipuan itu menunjukkan kecanggihan dan kelicikan taktik jenayah dalam teknologi.
“Saya sendiri hampir menjadi mangsa. Perkara ini amat penting untuk diberi perhatian.
“Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat mengambil alih kes ini. Kita perlu mengakui bahawa bentuk penipuan semakin maju dan licik,” katanya seperti dilapor Bangkok Post.
Pelaku dikatakan menggunakan teknologi AI untuk memalsukan suara seorang pemimpin asing yang tidak dikenal pasti.
Dalam kejadian itu, Perdana Menteri Thailand dimaklumkan beliau masih belum membuat sumbangan seperti dijanjikan.
Bagi meyakinkannya, satu klip audio dihantar yang meniru suara pemimpin berkenaan.
Namun, pautan derma yang disertakan ternyata mengarahkan sumbangan itu kepada negara lain.
Insiden ini mencetuskan kebimbangan terhadap kesan negatif penggunaan AI secara meluas, termasuk terhadap kemahiran berfikir kritikal.
Satu kajian di United Kingdom yang diterbitkan dalam jurnal Societies pada 3 Januari lalu mendapati penggunaan meluas alat AI berkait dengan penurunan tahap kemahiran berfikir kritikal dalam kalangan golongan muda.
Kajian itu yang melibatkan lebih 650 responden berusia 17 tahun ke atas turut menunjukkan kebimbangan terhadap pergantungan keterlaluan kepada teknologi tersebut.
Susulan perkembangan ini, universiti terkemuka dunia seperti di United Kingdom (UK), Kanada, Jerman, Jepun, Singapura dan Amerika Syarikat kini berlumba-lumba merangka peraturan bagi menyeimbangkan penggunaan teknologi dengan pemeliharaan integriti akademik.
Penipuan berasaskan teknologi seperti ini menyerlahkan cabaran global dalam memastikan keselamatan dan etika penggunaan AI di pelbagai sektor, khususnya dalam kehidupan seharian.
































