DONG NAI: Seorang doktor di selatan Vietnam, berhadapan dengan tuduhan bunuh, rompakan dan memiliki senjata api secara haram selepas didakwa membunuh dan memotong mayat kekasihnya yang hamil untuk menyembunyikan hubungan luar nikah mereka.
Menurut Utusan Malaysia, Pejabat Pendakwa Raya Wilayah Dong Nai mengeluarkan dakwaan terhadap Danh Son, 36, seorang pakar bedah umum di Hospital Umum Dong Nai, atas tiga tuduhan tersebut pada Selasa lalu.
Menurut dakwaan, pada akhir 2022, seorang wanita berusia 35 tahun yang dikenali sebagai TTBN dari bandar Bien Hoa membawa seorang ahli keluarga ke Hospital Umum Dong Nai untuk rawatan, di mana dia bertemu dengan doktor yang merawat pesakit tersebut dan kedua-duanya didakwa menjalin hubungan romantik meskipun mereka sudah berkahwin.
Namun pada Mac tahun lepas, wanita tersebut memberitahu Son dia sedang hamil dan menuntut supaya doktor itu bertanggungjawab, mengugut untuk mendedahkan hubungan mereka kepada keluarga dan tempat kerjanya.
Son, yang takut dengan kesan terhadap keluarganya dan kerjayanya, memutuskan untuk membunuh kekasihnya dan memotong mayatnya bagi menghapuskan bukti.
Bagi melakukan jenayah itu, Son didakwa membeli sebilah pisau daging, pisau pembedahan, tukul dan pil tidur yang disembunyikan di kawasan rehat peribadinya di Hospital Umum Dong Nai.
Pada 13 April tahun lalu, dia menghubungi kekasihnya untuk meminta supaya beliau datang ke biliknya untuk berbincang, dan sekitar pukul 1 petang hari tsama, kekasihnya tiba di bilik tersebut.
Pihak berkuasa percaya Son meyakinkan wanita itu untuk menerima rawatan IV bagi merasa lebih baik dan pada ketika itu, dia diam-diam menambah pil tidur ke dalam larutan IV itu.
Sekitar sejam kemudian, ketika wanita itu pengsan, dia didakwa membunuhnya lalu memotong mayatnya kepada beberapa bahagian, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam beg plastik dan dibuang di beberapa lokasi di bandar Bien Hoa dan daerah Vinh Cuu.
Setelah membuang mayat tersebut, pihak berkuasa percaya Son kembali ke biliknya, menggeledah beg tangan wanita itu dan mencuri wang sebanyak 2.8 juta dong (RM 497), sebentuk gelang emas, cincin, kalung, seutas rantai, sepasang subang dan dua telefon bimbit.
Son kemudian membuang pakaian dan selimut yang berlumuran darah ke dalam tong sampah hospital bagi menyembunyikan jenayah tersebut disamping didakwa mencampakkan peralatan lain ke kawasan kebun di kawasan Long Binh.
“Pada keesokan harinya, dia menggadai barang kemas milik kekasihnya dan menggunakan wang milik mangsa untuk perbelanjaan peribadinya.
“Bagi menghapuskan bukti lagi, Son mencari motosikal wanita itu di tempat letak kereta hospital, mencabut plat nombor pendaftaran dan membuangnya di Jambatan Suoi Linh,” kata polis.
Pada 26 April tahun lepas, Jabatan Penyiasatan Jenayah Polis Wilayah Dong Nai telah menahan Son dan siasatan lanjut di kediamannya di kawasan Tan Hiep menemui sebuah revolver dan lima butir peluru.
































