WASHINGTON: Prototaip roket Starship milik SpaceX mengalami kegagalan di angkasa pada Khamis, hanya beberapa minit selepas dilancarkan dari Texas.
Menurut Utusan Malaysia, insiden itu menjadi tamparan kepada usaha syarikat tersebut yang sedang giat membangunkan roket berteknologi tinggi, termasuk demonstrasi penting bagi pelancaran satelit.
Sistem Starship SpaceX, versi dinaik taraf setinggi kira-kira 37 tingkat, berlepas dari kemudahan pelancaran SpaceX di Boca Chica, Texas pada pukul 5.38 petang waktu tempatan dalam ujian ketujuh syarikat itu, yang juga merupakan ujian pertama tahun ini.
Namun, Pusat Kawalan Misi SpaceX di Texas kehilangan hubungan dengan Starship kira-kira lapan minit selepas pelancaran, sejurus roket itu berpisah daripada pendorong Super Heavy peringkat pertama di angkasa, menurut Pengurus Komunikasi SpaceX, Dan Huot.
“Kami kehilangan semua komunikasi dengan kapal, yang menunjukkan terdapat anomali pada bahagian peringkat atas,” kata Huot menerusi siaran langsung.
Beberapa minit kemudian, beliau mengesahkan roket tersebut gagal berfungsi.
Bahagian peringkat atas Starship kali ini adalah generasi baharu yang lebih maju dengan ketinggian tambahan dua meter berbanding versi sebelumnya, menurut SpaceX dalam penerangan misi sebelum ujian.
Roket itu sepatutnya mendarat terkawal di Lautan Hindi kira-kira sejam selepas dilancarkan.
SpaceX kali terakhir mengalami kegagalan pada bahagian peringkat kedua Starship adalah pada Mac tahun lalu semasa roket itu sedang memasuki semula atmosfera bumi dan pecah berkecai.
































