KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,000 dokumen dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan isu rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya dijangka menahan 16 lagi individu membabitkan pegawai bank dan syarikat perundingan akan dipanggil dan berkemungkinan ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, setakat hari ini, sebanyak 4,000 dokumen sudah dirampas bagi membantu siasatan.
“Pegawai bank yang ditahan terdiri dari pelbagai jawatan dan sudah bekerja antara lima hingga 20 tahun.
“Pegawai yang menguruskan pinjaman akan menerima 0.5 peratus sehingga satu peratus daripada nilai pinjaman dan ada sesetengah kes pegawai bank akan menerima RM5,000 bagi satu kes pinjaman,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Azam berkata, SPRM setakat ini sedang menyenaraikan peminjam-peminjam dan mereka akan dipanggil untuk memberikan keterangan dalam masa terdekat.
Media semalam melaporkan SPRM mendapati sejumlah RM700 juta pinjaman sudah diluluskan kepada 4,000 penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan.
Azam dilaporkan berkata, pinjaman yang diluluskan itu daripada pelbagai bank sejak syarikat berkenaan beroperasi tahun 2020.
Menurutnya, sindiket dipercayai menawarkan khidmat bantuan perunding kewangan kepada kakitangan awam melalui platform media sosial dan jelajah ke jabatan serta kementerian.
Isnin lalu, SPRM menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan susulan penahanan 12 individu di sekitar Lembah Klang.
Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan Op Sky di 24 lokasi termasuk rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada 13 Januari lalu.
Mereka yang ditahan termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, masing-masing seorang pengarah yayasan, pengurus dan bekas pengurus jualan institusi perbankan.
































