KOTA KINABALU: Selaras dengan peredaran masa, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), dengan kelulusan daripada Kerajaan Negeri, telah mengembalikan pengenaan kadar asal fi lesen di bawah Undang-undang Kecil (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966, yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.
Pengiraan fi lesen hotel dan rumah lojing adalah berdasarkan formula yang dinyatakan dalam UUK (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966, dengan mengambil kira kategori kelas hotel dan kadar penghunian (occupancy rate) sesuatu hotel.
Fi sebenar yang dikenakan adalah seperti berikut:
Kelas 1: RM4.65 sebilik/sehari untuk bilik yang dihuni.
Kelas 2: RM2.65 sebilik/sehari untuk bilik yang dihuni.
Kelas 3: RM1.30 sebilik/sehari untuk bilik yang dihuni.
Bagi bilik yang tidak dihuni, tiada fi dikenakan.
“DBKK perlu menguatkuasakan mana-mana perundangan atau peraturan sebagaimana yang telah termaktub dalam undang-undang di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu. Ini termasuklah kutipan fi lesen, yang hasilnya akan digunakan untuk menampung kos penyampaian pelbagai perkhidmatan di sekitar kawasan bandaraya. Langkah ini juga memastikan Kota Kinabalu kekal menjadi tarikan kepada pelancong domestik dan antarabangsa,” maklum DBKK dalam kenyataan.
DBKK turut menekankan bahawa bayaran fi lesen hotel ini merupakan sebahagian daripada kos operasi perniagaan hotel, yang boleh diambil kira dalam pengisytiharan penyata cukai pendapatan tahunan pengusaha hotel.
Bagi melicinkan proses kutipan fi lesen, DBKK telah menyediakan Garis Panduan Permohonan dan Pembaharuan Lesen Hotel, yang menerangkan secara terperinci syarat permohonan, dokumen yang diperlukan, kaedah kiraan, serta pelaksanaan fi lesen hotel untuk kemudahan pengusaha hotel.
DBKK juga telah memperkenalkan sistem pengisian borang penghunian (occupancy form) secara dalam talian melalui platform DBKK eServices, untuk memudahkan pengiraan dan pembayaran fi secara digital.
Sebelum pelaksanaan semula kadar fi di bawah UUK 1966, DBKK telah mengadakan dua Sesi Libat Urus pada 1 Oktober dan 29 Oktober 2024, yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Haji Sabin Samitah, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Sesi ini menjadi platform untuk menjelaskan mekanisme pelaksanaan UUK 1966 serta mendengar maklum balas daripada pemain industri perhotelan.
Berkenaan isu Short Term Rental Accommodation (STRA) yang dibangkitkan oleh persatuan perhotelan, DBKK memaklumkan bahawa garis panduan khusus bagi STRA telah diwujudkan dan dikuatkuasakan mulai 2 Januari 2025. STRA juga tertakluk kepada UUK (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966.
DBKK merakamkan penghargaan kepada pengusaha hotel yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka. Sehingga 15 Januari 2025, lebih daripada 50% atau sebanyak 99 pengusaha hotel telah menjelaskan bayaran fi lesen hotel dan rumah lojing bagi bulan Januari 2025.


































