Logo TikTok dipaparkan di pejabat syarikat aplikasi media sosial di Culver City, California.
BEIJING: Pihak berkuasa China sedang menimbang kemungkinan untuk menjual operasi TikTok di Amerika Syarikat (AS) kepada bilionair, Elon Musk sekiranya syarikat itu gagal menghalang larangan berpotensi ke atas aplikasi tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, laporan Bloomberg News yang memetik sumber yang arif mengenai perkara tersebut berkata, pegawai China lebih cenderung agar TikTok kekal di bawah kawalan syarikat induknya, Bytedance.
TikTok kini sedang mencabar larangan berkenaan melalui rayuan di Mahkamah Agung AS.
Dalam salah satu senario yang dipertimbangkan, platform media sosial milik Musk, X, akan mengambil alih operasi TikTok AS dan menguruskan perniagaan itu bersama.
Bagaimanapun, sumber menyatakan, pihak berkuasa China belum mencapai sebarang keputusan muktamad kerana perbincangan masih berada di peringkat awal.
TikTok enggan memberikan sebarang komen, sementara Musk dan platform X juga belum memberikan respons terhadap permintaan tersebut.
Agensi Pentadbiran Ruang Siber China dan Kementerian Perdagangan China, yang mungkin terlibat dalam keputusan berkaitan masa depan TikTok, juga belum memberikan sebarang kenyataan.
Minggu lalu, Mahkamah Agung AS dilaporkan cenderung untuk menyokong undang-undang yang akan memaksa penjualan atau pengharaman aplikasi popular itu di AS menjelang 19 Januari ini.
Barisan hakim memberi tumpuan terhadap kebimbangan keselamatan negara berhubung pengaruh China yang menjadi punca tindakan keras tersebut.
































