NEW DELHI: India menuntut permohonan maaf daripada gergasi media sosial Meta berhubung kenyataan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg mengenai pilihan raya umum negara itu tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, New Delhi juga memaklumkan akan memanggil wakil Meta untuk menghadiri taklimat jawatankuasa Parlimen dalam beberapa hari akan datang.
“Maklumat salah dalam mana-mana negara demokratik mencemarkan imej negara tersebut.
“Organisasi itu perlu memohon maaf kepada Parlimen India dan rakyat di sini atas kesilapan tersebut,” tulis Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Teknologi Maklumat Parlimen, Nishikant Dubey di X.
Kenyataan itu dibuat selepas Zuckerberg, dalam podcast bersama hos televisyen Amerika Joe Rogan, berkata parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) kalah dalam pilihan raya tahun lalu disebabkan pandemik Covid-19.
“Saya berpandangan tindak balas terhadap Covid-19 mungkin menyebabkan keruntuhan kepercayaan terhadap banyak kerajaan di seluruh dunia, kerana 2024 adalah tahun pilihan raya besar di banyak negara.
“Dan anda tahu, terdapat semua negara – India sama seperti banyak negara lain – yang mengadakan pilihan raya, dan penyandang pada dasar kalah hampir kesemuanya,” kata Zuckerberg.
Menteri Teknologi Maklumat India, Ashwini Vaishnaw menegaskan dakwaan Zuckerberg sebagai tidak tepat secara fakta.
“Sebagai negara demokrasi terbesar di dunia, India menjalankan pilihan raya 2024 dengan lebih 640 juta pengundi.
“Rakyat India mengesahkan semula kepercayaan mereka terhadap Perikatan Demokratik Nasional (NDA) yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Narendra Modi,” katanya.
BJP pimpinan Modi kehilangan majoriti dalam pilihan raya tahun lalu dan kini mengetuai kerajaan dengan sokongan sekutu kecil di bawah NDA.
































