Kenneth Jonassen
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen mengakui memerlukan masa untuk mengembalikan semula maruah skuad perseorangan wanita negara yang semakin merosot.
Menurut Utusan Malaysia, beliau kini sedang menilai skuad perseorangan wanita secara menyeluruh, termasuk aspek latihan dan motivasi pemain, untuk memahami lebih lanjut tentang keperluan pasukan tersebut.
“Saya masih dalam penilaian terhadap pasukan (perseorangan wanita) dari semua aspek, termasuk cara latihan dan keinginan mereka. Apabila sudah faham, baru saya akan nampak arah yang diperlukan untuk perseorangan wanita.
“Buat masa ini, saya sedang mengumpul maklumat dan memahami mereka. Sekarang saya hanya mahu dapatkan pemahaman sebenar sebelum buat perubahan, bukannya ubah tanpa sebarang tujuan,” kata Jonassen kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, semalam.
Pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 yang berlangsung minggu lalu, hanya seorang wakil negara, Goh Jin Wei, yang mewakili negara, sementara pemain-pemain ABM gagal tersenarai dalam kejohanan tersebut.
Keadaan ini telah menyebabkan Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky, meluahkan rasa kecewa terhadap sikap beberapa pemain perseorangan wanita yang dilihat sering mengeluh semasa latihan.
Sementara itu, Jonassen turut menjelaskan bahawa dalam dua minggu pertama tugasnya, beliau lebih menumpukan perhatian kepada skuad perseorangan lelaki untuk mempelajari falsafah latihan yang diterapkan oleh setiap jurulatih.
Selepas memahami pendekatan tersebut, beliau bercadang untuk memberi tumpuan lebih kepada skuad perseorangan wanita dan berharap dapat membantu mereka kembali ke kelompok 30 terbaik dunia, walaupun ia memerlukan masa yang agak panjang.
“Saya percaya dengan masa yang cukup dan usaha berterusan, kita boleh memperbaiki prestasi dan membawa mereka kembali ke tahap yang lebih baik,” ujarnya.


































