Kerajaan komited menggunakan teknologi digital mutakhir bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan dengan kaedah mudah difahami oleh rakyat – Gambar Hiasan
PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar bermula esok.
Menurut Utusan Malaysia, kaedah ini juga akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak mulai tahun ini berbanding hanya di negeri Semenanjung Malaysia pada tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SARA merupakan pendekatan bantuan bersasar yang mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka memerlukan.
“Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana mekanisme tersebut memastikan golongan miskin menerima manfaatnya dalam bentuk barang asas termasuk makanan asas.
“Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi Madani, penyusunan semula kewangan kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata, kerajaan juga komited menggunakan teknologi digital mutakhir bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan dengan kaedah mudah difahami dan digunakan oleh rakyat.
Kerajaan sebelum ini meningkatkan kadar bantuan SARA dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih.
Golongan itu bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025, berbanding RM1,200 pada 2024.
Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac tahun ini.
Mulai April depan, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan memaklumkan, melalui SARA, penerima boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 1,200 buah di seluruh negara, berbanding 700 pada 2024.
“Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan selain makanan asas,” katanya.
Jelasnya, mekanisme seragam itu adalah tambah baik daripada tahun lalu iaitu berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Penambahbaikan kepada SARA ini merangkumi sebahagian daripada peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah, iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun lalu.
“Selain daripada itu, 5.4 juta penerima STR turut akan menerima bantuan tambahan SARA mulai April 2025,” jelasnya.
Ini terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih.
“Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan.
“Golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan,” katanya.


































