Hiew (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Masiung di majlis tersebut.
SANDAKAN: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah menggesa pemimpin di peringkat daerah agar menyebarluaskan inisiatif Kerajaan melalui pelbagai bentuk dana bantuan kepada rakyat.
Beliau berkata, Belanjawan Kerajaan Negeri 2025 telah memperkenalkan pelbagai insentif baharu untuk membantu golongan rakyat menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat, sesuatu yang julung kali berlaku dalam sejarah negeri.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan sambutan Tahun Baru Cina Zon 10 Gagasan Rakyat Karamunting di sini, kelmarin. Majlis tersebut turut dihadiri oleh ADUN Karamunting, Datuk George Hiew yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Karamunting.
Masiung yang juga ADUN Kuamut menekankan bahawa antara dana yang diperkenalkan termasuk bantuan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), bantuan kepada penjaja kecil dan sokongan pendidikan yang meliputi peringkat sekolah rendah hingga universiti.
“Buat pertama kalinya dalam sejarah, Kerajaan Negeri menawarkan bantuan percuma Rumah Mesra SMJ kepada golongan B40 dan dana sebanyak RM5,000 kepada penjaja kecil.
“Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberikan kuota 40 buah Rumah SMJ untuk rakyat yang layak. Selain itu, pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga universiti akan menerima bantuan antara RM300 hingga RM2,500 seorang,” katanya.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri turut memberikan bantuan penerbangan sebanyak RM600 secara sekali beri (one-off) kepada pelajar Sabah yang belajar di Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Manakala, pelajar yang belajar di luar daerah di Sabah menerima bantuan tambang sebanyak RM300.
Masiung menyeru agar pemimpin daerah, khususnya Pemuda, Wanita dan Beliawanis, mengambil inisiatif menyebarluaskan maklumat tentang bantuan ini supaya rakyat dapat memanfaatkan keprihatinan Kerajaan Negeri.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan ahli-ahli jawatankuasa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di setiap kawasan DUN agar meneliti pelbagai bantuan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri dan memastikan maklumat tersebut sampai kepada semua lapisan masyarakat.


































