KOTA KINABALU: Penglibatan wanita dalam pembangunan ekonomi dan politik di Sabah masih jauh ketinggalan, memerlukan anjakan besar serta sokongan padu daripada semua pihak.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, jurang penyertaan wanita dalam ekonomi dan politik di negeri ini masih ketara, menjadi cabaran untuk memastikan mereka dapat memainkan peranan penting dalam kemajuan negeri.
“Kita semua sedar bahawa wanita adalah elemen penting dalam pembangunan negeri dan negara. Namun, berdasarkan Malaysia Gender Gap Index (MGGI) 2022, terdapat jurang ketara dalam peluang ekonomi dan penguasaan politik wanita.
“Skor penguasaan politik wanita hanya mencatat 0.102, menunjukkan wujudnya cabaran besar untuk memperkukuhkan peranan wanita dalam bidang ini.
“Di Sabah, hanya 18 peratus wanita memegang jawatan sebagai Ahli Majlis di Pihak Berkuasa Tempatan, manakala hanya 26 peratus wanita berada dalam lembaga pengarah atau menjawat jawatan CEO di agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya semasa berucap pada Sesi Townhall Bajet Wanita Negeri Sabah 2025, di sini hari ini.
Azizah turut menyatakan bahawa perwakilan wanita dalam kepimpinan pelbagai parti politik di Sabah masih rendah, dengan hanya sekitar empat hingga 13 peratus penglibatan dicatatkan.
“Data ini menunjukkan keperluan mendesak untuk mengatasi pelbagai halangan yang menghalang wanita daripada memainkan peranan yang lebih signifikan di negeri ini.
“Sebagai sebuah negara yang beraspirasi mencapai kesamarataan gender, cabaran besar perlu ditangani untuk memastikan penglibatan wanita dalam kepimpinan, terutamanya di Sabah.
“Walaupun semakin ramai wanita memiliki pendidikan tinggi dan kelayakan profesional, penyertaan mereka dalam kepimpinan sektor awam dan swasta masih belum mencerminkan potensi sebenar mereka,” katanya.
Beliau menambah, di Sabah, hanya sekitar 14 peratus wanita memegang jawatan dalam kumpulan pembuat keputusan di sektor awam, sementara majoriti masih berada di peringkat sokongan dan perkeranian. Hal ini menunjukkan wujudnya halangan struktural dan sosial untuk wanita mencapai peranan strategik dalam organisasi.
Menurutnya lagi, meskipun dasar Kerajaan Malaysia pada 2004 menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam sektor awam, penglibatan wanita di peringkat tertinggi pengurusan awam dan swasta di Sabah masih rendah.
“Budaya dan persepsi sosial yang konservatif di beberapa kawasan luar bandar di Sabah terus membatasi peluang wanita untuk mengambil peranan kepimpinan.
“Kekurangan program bimbingan dan pembangunan khusus bagi wanita yang bercita-cita menjadi pemimpin juga menyumbang kepada jurang kepimpinan ini,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru wanita Sabah dan pihak berkepentingan untuk memperkukuhkan sokongan terhadap program-program pemerkasaan wanita dalam pelbagai bidang.
“Langkah ini penting untuk memastikan wanita dapat terlibat secara lebih aktif dan berkesan dalam pembangunan serta kemajuan negeri dan negara,” tambah beliau.
































