Christina Liew
KOTA KINABALU: Pulau Sibuan yang ditutup sementara sejak 7 Januari ekoran penemuan objek yang telah dikenal pasti sebagai bom lama atau ’unexploded ordnance’ (UXO), dijadualkan dibuka semula kepada pengunjung pada 15 Januari setelah semua langkah keselamatan selesai dilaksanakan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew memaklumkan ini dalam satu kenyataan hari ini.
Penutupan sementara Pulau Sibuan yang terletak dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), bermula 7 Januari 2025.

Pulau Sibuan
Liew menjelaskan, arahan penutupan sementara pulau tersebut bermula apabila dua orang Pengawal Pantai Taman-Taman Sabah (TTS) yang bertugas di Pulau Sibuan menjumpai objek yang menyerupai sebutir bom lama ketika melakukan aktiviti pemantauan dan pembersihan kawasan snorkeling di pantai Pulau Sibuan.
“Pengurus Taman, Taman Marin Tun Sakaran telah dimaklumkan mengenai penemuan tersebut dan laporan polis telah dibuat pada hari yang sama. Pegawai Penempatan Pos Pulau Sibuan 10 RAMD, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah dimaklumkan tentang perkara tersebut.
“Tujuan pihak TTS bertindak menutup sementara Pulau Sibuan daripada sebarang aktiviti pelancongan serta merta adalah untuk memastikan keselamatan para pelawat dan staf yang bertugas di pulau tersebut terjamin.

“Walau bagaimanapun aktiviti pelancongan di pulau-pulau lain di TMTS seperti Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mantabuan berjalan seperti biasa,” katanya.
Objek yang telah dikenal pasti sebagai bom lama atau ’unexploded ordnance’ (UXO) telah berjaya dimusnahkan oleh penyelam ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 11 Januari 2025 jam 3.10 petang.
“Pulau Sibuan akan dibuka semula kepada para pelancong pada 15 Januari 2025 sebaik sahaja pihak polis dan pasukan keselamatan serta TTS selesai membuat kerja-kerja pembersihan dan penggumpulan sisa-sisa bom,” kata Liew.


































