Gambar Hiasan
SINGAPURA: Seorang wanita dijatuhkan hukuman percubaan selama 18 bulan kerana mencederakan anak-anaknya dengan air panas selepas mengesyaki seorang daripadanya mencuri wang.
Menurut Utusan Malaysia, ibu tunggal empat anak itu diwajibkan menjalani penilaian psikiatri dan mematuhi sebarang ubat serta rawatan psikiatri yang ditetapkan.
Wanita berusia 34 tahun itu juga diwajibkan untuk mengikuti program kaunseling yang disediakan oleh agensi perkhidmatan sosial dan mematuhi pelan keselamatan daripada Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak.
Perintah percubaannya akan disemak semula selepas sembilan bulan.
Kakaknya turut mengambil bon S$5,000 (RM16,434) untuk memastikan tingkah lakunya yang baik semasa tempoh percubaan.
Tertuduh sebelum ini mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak dalam jagaannya, dengan tiga lagi pertuduhan berkaitan anak-anaknya yang lain dipertimbangkan dalam hukuman.
Wanita itu tidak boleh dinamakan kerana perintah sekatan yang melindungi identiti anak-anaknya, yang berusia lapan, sembilan, 10 dan 11 tahun semasa kejadian pada Julai 2022.
Pada tarikh itu, wanita terbabit meminta anak sulungnya, berusia 11 tahun untuk mengambil 20 dolar Singapura (RM65.70) daripada dompetnya bagi membeli roti untuk sarapan.
Apabila gadis itu menyatakan hanya ada 5 dolar Singapura (RM16) dalam dompet, wanita itu terkejut dan mengesyaki seorang anaknya mengambil wang itu.
Ketika dia memaksa anak-anaknya mencari wang itu, wanita terbabit merebus air di dapur dan mengisi tiga perempat gelas dengan air panas dan kemudian mencurah kepada mereka sambil meminta duit tersebut dikembalikan.
Susulan perbuatan itu, anak perempuannya yang berusia 10 tahun melecur 10 peratus pada bahagian badan, termasuk lengan kiri, perut dan paha.
Anak perempuan berusia lapan tahun pula mengalami kelecuran pada tujuh peratus badan, anak perempuan, 11 dan anak lelakinya, 9, masing-masing melecur satu dan dua peratus pada badan.


































