Haiwan ternakan dibiar berkeliaran di jalan raya, membahayakan pengguna.
PETALING JAYA: Seramai 109 pengguna jalan raya maut di seluruh negara disebabkan haiwan peliharaan atau ternakan sepanjang tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, dalam tempoh tersebut, sebanyak 14,560 kes kemalangan membabitkan haiwan liar, haiwan peliharaan dan ternakan dicatatkan di seluruh negara dengan 13,877 kes kemalangan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, daripada jumlah itu, selain kematian, sebanyak 30 kes kemalangan melibatkan kecederaan parah dan 544 kes lagi cedera ringan.
Beliau berkata, kajian jabatan menunjukkan trend peningkatan kemalangan disebabkan haiwan melintas di jalan raya, mendatangkan kegusaran kepada pengguna.
Justeru katanya, semua pihak khususnya pemilik perlu bertanggungjawab bagi memastikan ternakan mereka tidak mengganggu aliran trafik dan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.
“Penternak atau penjaga haiwan mengabaikan keselamatan boleh diambil tindakan mengikut tahap sesuatu kes di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan iaitu kecuaian menjaga haiwan dan Kaedah 33 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan LN 166/59 iaitu haiwan hendaklah dijaga,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Mohd. Yusri berkata, selain itu, pengguna jalan raya juga perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan yang boleh berlaku atau situasi luar jangka sepanjang perjalanan.
Pengguna jalan raya juga katanya, perlu peka dan memahami tanda isyarat lalu lintas yang ditempatkan sepanjang jalan.
Sementara itu, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 1,700 kes atau purata lima kes kemalangan sehari berpunca daripada haiwan termasuk ternakan yang dilepaskan direkodkan sepanjang tahun lalu di Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Lebih membimbangkan, laluan-laluan utama penduduk di Pantai Timur termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan di jajahan Gua Musang yang merupakan pintu masuk ke Terengganu serta Kelantan, terus menjadi ‘perangkap maut’ kepada pengguna jalan raya kerana masalah berkenaan.
Di Terengganu, sebanyak 774 kes kemalangan di LPT2 adalah berpunca daripada haiwan dengan kemalangan tertinggi direkodkan di Kemaman iaitu 272 kes diikuti Dungun (186 kes), Kuala Terengganu (174 kes) dan Hulu Terengganu (142 kes).
Daripada jumlah itu, empat kes adalah kemalangan maut manakala bakinya melibatkan kecederaan dan kerosakan kenderaan.
Statistik JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pula menunjukkan sebanyak 925 kes kemalangan melibatkan haiwan pada tahun lalu, dengan jajahan Gua Musang mencatatkan kemalangan tertinggi sebanyak 222 kes diikuti Pasir Mas (119 kes) dan Pasir Puteh (103 kes).
Jajahan-jajahan lain iaitu Tumpat dan Kuala Krai masing-masing 97 kes, Tanah Merah (85 kes), Machang (78), Kota Bharu (63), Bachok (49 kes) dan Jeli (12 kes).
Di Pahang pula, statistik JSPT negeri merekodkan 38 kes kemalangan membabitkan haiwan ternakan di seluruh negeri bermula Januari sehingga November tahun lalu.
Kuantan mencatatkan jumlah kemalangan membabitkan haiwan ternakan paling tinggi iaitu 10 kes dengan lima kemalangan maut dan lima kemalangan mengakibatkan kerosakan harta.
Sementara itu, pengalaman lebih 10 tahun berulang-alik sebagai pengantar barangan menggunakan Jalan Gua Musang-Kuala Krai khususnya di kawasan Chiku, Kelantan membuatkan Nurul Haq Mohamad, 43, sentiasa berwaspada sepanjang pemanduan bagi menggelakkan kenderaan dipandu merempuh lembu berkeliaran.
Nurul Haq berkata, sepanjang tempoh itu dia pernah hampir merempuh lembu yang berkeliaran dan melintas secara mengejut di kawasan berkenaan.
“Mujurlah ketika itu saya tidak panik walaupun hampir melanggar lembu tersebut dan sempat mengelak,” katanya.
Seorang lagi pengguna jalan raya, Saiful Mohamad, 38, berkata, pemasangan lampu di sepanjang laluan Gua Musang-Kuala Krai khususnya di kawasan Paloh dan Chiku mampu mengurangkan kemalangan berpunca lembu atau kerbau berkeliaran.
Katanya, suasana jalan yang gelap menyebabkan pengguna tidak dapat melihat secara jelas kelibat haiwan berkenaan.
“Pemasangan lampu itu solusi terbaik dalam menyelesaikan masalah ini. Jadi saya harap pihak berwajib tidak mengambil sikap tunggu dan lihat. Takkan nak tunggu kemalangan maut baru nak ambil tindakan,” ujarnya.


































