Pelajar Sekolah Menengah Rendah PGRI 6 Bogor, Jawa Barat menikmati hidangan pada hari pertama program makanan percuma.
JAKARTA: Indonesia melancarkan program makanan percuma yang menelan belanja AS$4.3 bilion (RM19.4 bilion), bagi menangani masalah pertumbuhan terbantut akibat kekurangan zat makanan.
Menurut Utusan Malaysia, inisiatif yang bermula sejak Ahad, merupakan janji utama semasa kempen pilihan raya Presiden Prabowo Subianto.
Prabowo berjanji untuk menyediakan makanan berkhasiat secara percuma kepada puluhan juta murid sekolah dan wanita hamil, dengan tujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Ini adalah detik bersejarah bagi Indonesia kerana buat pertama kalinya menjalankan program pemakanan di seluruh negara untuk kanak-kanak, pelajar, ibu hamil dan menyusu,” kata jurucakap presiden, Hasan Nasbi, Ahad.
Sekurang-kurangnya 190 dapur yang dikendalikan oleh perkhidmatan katering pihak ketiga, termasuk beberapa dapur di pangkalan tentera, dibuka di seluruh negara dan sibuk menyediakan makanan dari tengah malam sebelum mengedarkannya kepada pelajar sekolah serta wanita hamil.
Kerajaan memperuntukkan 10,000 rupiah (RM2.78) setiap hidangan, yang lengkap dengan nasi, protein, sayuran-sayuran dan buah-buahan untuk pelajar.
Program itu mempunyai peruntukan sebanyak 71 trilion rupiah (RM19.4 bilion) bagi tahun fiskal 2025 dan bersedia menyasarkan kepada hampir 83 juta orang menjelang 2029.
Program makanan percuma ini dirangka khusus untuk menangani masalah pertumbuhan terbantut, yang menjejaskan 21.5 peratus kanak-kanak di negara kepulauan dengan populasi sekitar 282 juta orang.
Indonesia menyasarkan untuk mengurangkan kadar itu kepada lima peratus menjelang tahun 2045.
Prabowo memperjuangkan program tersebut sejak kempen pilihan raya presiden tahun lalu dan kawasan paling miskin serta terpencil di kepulauan Asia Tenggara itu akan diberi keutamaan.


































